Mahkota: Calon tepat boleh bantu Bersatu tangani isu ucapan Muhyiddin

Muhyiddin Tegaskan Tiada Arahan Tandatangan Akuan Berkanun, PN Hormati Kuasa Istana Perlis

KUALA LUMPUR – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, tiada sebarang arahan dikeluarkan parti itu kepada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis untuk menandatangani mana-mana Akuan Berkanun susulan krisis politik yang tercetus di negeri itu

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau mengikuti dengan teliti perkembangan terkini krisis politik di Perlis selepas peletakan jawatan Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai kedudukan kepimpinan kerajaan negeri.

Menurutnya, setiap parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) mempunyai kaedah tersendiri untuk menguruskan isu dalaman secara berhemah, khususnya dalam keadaan genting, demi memastikan kestabilan politik dan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri di Perlis terus terpelihara.

“Saya ingin menegaskan, tiada sebarang arahan dikeluarkan kepada ADUN-ADUN Perlis daripada Bersatu untuk menandatangani sebarang Akuan Berkanun,” katanya yang turut menafikan dakwaan Bersatu terlibat secara langsung dalam usaha mengatur sokongan bagi menentukan calon Menteri Besar baharu.

Muhyiddin turut menjelaskan, Bersatu hanya mempersembahkan atau menyembah maklum nama calon Menteri Besar daripada parti itu setelah menerima titah daripada Istana Perlis untuk berbuat demikian, selaras dengan amalan dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa di negeri tersebut.

Sehubungan itu, beliau berkata, Bersatu akan mendapatkan penjelasan daripada ADUN-ADUNnya bagi memahami kedudukan sebenar isu berlaku, termasuk sebarang tindakan atau keputusan diambil mereka dalam konteks krisis politik semasa.

Dalam kenyataan sama, Muhyiddin menegaskan, PN menghormati sepenuhnya kuasa budi bicara Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail, khususnya dalam urusan pelantikan Menteri Besar sebagaimana termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis.

“PN menjunjung tinggi Perlembagaan dan undang-undang negeri serta menghormati kuasa Tuanku dalam menentukan pelantikan Menteri Besar,” katanya.

Beliau turut menegaskan, PN menghormati kedudukan Pas sebagai parti yang memimpin kerajaan negeri Perlis, selaras dengan struktur kepimpinan dan persefahaman dalam gabungan PN di peringkat negeri.

Muhyiddin juga menyuarakan harapan agar kemelut berkaitan kedudukan Menteri Besar Perlis dapat diselesaikan secara harmoni dan berhemah, berlandaskan semangat kekeluargaan dalam kalangan parti komponen PN.

“Saya berharap isu ini dapat diselesaikan dalam semangat keluarga besar PN demi kepentingan rakyat dan kestabilan negeri Perlis,” katanya.

Krisis politik di Perlis ketika ini terus menjadi tumpuan, dengan pelbagai pihak menggesa agar penyelesaian segera dicapai bagi memastikan pentadbiran negeri dapat berjalan dengan lancar tanpa menjejaskan kebajikan rakyat.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *