Oleh: Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali

PENINGKATAN ketara minat terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi ambilan Julai 2025 mencerminkan perubahan landskap pendidikan negara yang semakin positif.
Permohonan yang mencecah ribuan, khususnya bagi program peringkat diploma, menunjukkan keyakinan masyarakat terhadap TVET sebagai laluan utama pembinaan kerjaya kian mengukuh dan bukan lagi sekadar pilihan alternatif.
Jika sebelum ini TVET sering dilihat sebagai pilihan kedua, trend terkini menunjukkan sebaliknya.
Permintaan tinggi terhadap program seperti Diploma Seni Kulinari, Teknologi Automotif dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak mencerminkan bahawa pelajar kini lebih yakin memilih laluan kemahiran sebagai platform utama membina kerjaya. Ini bukan perubahan kecil, tetapi satu anjakan paradigma yang semakin kukuh.
Lebih menarik, berlaku peralihan ketara daripada program tahap sijil kepada diploma. Ambilan Januari 2025 masih didominasi kursus teknikal asas seperti automotif dan kimpalan.
Namun, menjelang Julai, program diploma menguasai pilihan utama. Ini memberi isyarat bahawa pelajar bukan sahaja mahu kemahiran, tetapi juga kelayakan lebih tinggi yang membuka peluang pendapatan dan mobiliti kerjaya yang lebih luas.
Dari sudut impak, perkembangan ini mengangkat imej TVET sebagai laluan kerjaya yang kompetitif dan relevan dengan kehendak industri. Dalam konteks ini, peranan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) adalah signifikan melalui pembangunan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS), pelaksanaan Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) serta peluasan laluan pembelajaran fleksibel seperti modular dan Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT).
Usaha ini memastikan standard latihan sentiasa selari dengan keperluan industri serta menjamin kebolehpasaran graduan.
Namun begitu, lonjakan ini juga perlu dilihat dari sudut inklusiviti sosial, khususnya melibatkan kumpulan B40. Tumpuan kepada program diploma tidak boleh menghakis peranan program sijil sebagai laluan asas kepada mereka yang memerlukan akses awal kepada kemahiran.
Dalam konteks yang lebih luas, isu B40 bukan sekadar akses kepada latihan, tetapi turut melibatkan kemampuan kewangan, literasi pendidikan, sokongan mobiliti serta peluang pekerjaan selepas tamat latihan.
Oleh itu, TVET perlu kekal sebagai platform mobiliti sosial yang inklusif, bukan eksklusif kepada mereka yang berupaya sahaja.
Selain itu, peningkatan permohonan turut menuntut kesiapsiagaan sistem secara menyeluruh. Kapasiti institusi, kualiti pengajar, kemudahan latihan serta keupayaan penawaran program perlu diperkukuh agar tidak berlaku lambakan tanpa jaminan kualiti.
Dalam hal ini, JPK melalui halatuju strategiknya di bawah pelan (R)Evolusi TVET: Mengupayakan Kompetensi, Memacu Pertumbuhan Negara memberi penekanan kepada pengukuhan ekosistem TVET berasaskan data, pendigitalan sistem seperti MySPIKE, serta pemerkasaan kerjasama industri berimpak tinggi (HGHV).
Kesimpulannya, lonjakan permohonan ini bukan mencerminkan kegagalan, tetapi bukti peningkatan keyakinan terhadap TVET sebagai laluan kerjaya utama.
Cabaran sebenar kini adalah memastikan pertumbuhan ini diurus secara seimbang, inklusif dan berkualiti tinggi. Jika berjaya, TVET berpotensi menjadi pemacu utama pembangunan tenaga mahir negara serta tonggak kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman bin Hj. Md. Ali adalah Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L