“Sukarnya mencari sahabat sejati” – Najib Razak

Najib Seru Rakyat Kekal Rasional, Tegaskan Perjuangan Demi Prinsip dan Undang-Undang

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tampil menyampaikan mesej kepada rakyat Malaysia menerusi sepucuk surat terbuka susulan hukuman penjara 15 tahun dan denda berjumlah RM11.38 bilion yang dijatuhkan ke atasnya berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semalam.

Surat itu dibacakan peguam bela beliau, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam satu sidang media selepas prosiding di Istana Kehakiman, Putrajaya, sebelum turut dikongsikan kepada umum melalui akaun Facebook rasmi Najib. Perkongsian itu segera menarik perhatian ramai dan mencetuskan pelbagai reaksi daripada masyarakat.

Dalam nada penuh emosi tetapi terkawal, Najib mengakui perasaannya yang berat menghadapi keputusan mahkamah, namun menegaskan pendiriannya untuk terus berjuang bukan didorong oleh rasa dendam.

Sebaliknya, beliau menekankan segala tindakan yang diambil berpaksikan prinsip dan keyakinan terhadap keadilan.

Beliau turut meluahkan perasaan seolah perjuangan yang ditempuh kini terpaksa dipikul sendirian, namun tetap bertekad meneruskannya melalui saluran sah.

Menurut Najib, apa yang dituntut hanyalah hak yang diperuntukkan oleh undang-undang dan niatnya untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara serta kesejahteraan rakyat tidak pernah berubah.

Dalam surat sama, Najib menolak tanggapan usahanya bertujuan mengelak tanggungjawab, sebaliknya, menyifatkan langkah itu sebagai satu ikhtiar untuk menegakkan keadilan, mempertahankan kedaulatan undang-undang dan menjunjung integriti Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut menyatakan kesediaan untuk terus melalui proses perundangan dengan penuh maruah dan kesabaran, walaupun mengakui laluan itu sukar dan menuntut pengorbanan besar. Najib bagaimanapun menegaskan keyakinannya terhadap sistem kehakiman negara, tanpa mengira keputusan yang telah dibuat.

Pada masa sama, Najib menggesa rakyat Malaysia kekal tenang dan berfikiran rasional serta tidak mudah terpengaruh dengan sebarang provokasi yang boleh menggugat keharmonian awam.

Beliau juga menyeru agar perbezaan pandangan disuarakan secara matang, beradab dan selaras dengan lunas undang-undang.

Menurutnya, penilaian terhadap kes tersebut wajar dibuat bukan hanya dari sudut nasib peribadinya, tetapi juga dengan mengambil kira masa depan institusi negara dan prinsip keadilan yang menjadi asas kepada sistem pemerintahan.

Untuk rekod, mahkamah pada Jumaat mensabitkan Najib bersalah atas 25 pertuduhan melibatkan dana 1MDB, melibatkan empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk menerima suapan dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.3 bilion.

Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM serta Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA).

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *