KUALA LUMPUR – Usaha memperkasa pengurusan bencana berasaskan teknologi terus dipergiat apabila Malaysia menjadi tumpuan penganjuran Resilient Asia 2026 Ekspo dan Forum, yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Program yang mengangkat tema “Pendayagunaan AI Dalam Memacu Pengurusan Bencana Ke Arah Komuniti Berdaya Tahan” itu menghimpunkan pelbagai pihak termasuk pakar antarabangsa, agensi teknikal serta pemain industri.
Penganjuran itu bertujuan memperkasa pendekatan pengurusan bencana berasaskan teknologi, khususnya kecerdasan buatan (AI), di samping memperkukuh kerjasama rentas sempadan dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.
Dalam ucapannya, Ahmad Zahid menegaskan keunikan bentuk muka bumi serta iklim Malaysia, digabungkan dengan kecekapan pasukan respons kecemasan, menjadikan negara ini sebagai antara lokasi latihan strategik kepada komuniti antarabangsa dalam bidang pengurusan bencana.
“Malaysia menjadi contoh kepada negara lain dalam pengurusan bencana. Pengiktirafan daripada negara seperti Rusia, Turkiye, Myanmar dan Pakistan membuktikan keupayaan kita, khususnya melalui peranan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia,” katanya.
Beliau turut menegaskan pencapaian tersebut mencerminkan tahap kesiapsiagaan negara yang tinggi, selain komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh sistem pengurusan bencana yang lebih cekap, bersepadu dan berdaya tahan.
Penganjuran Resilient Asia 2026 dilihat sebagai satu lagi langkah strategik dalam memperkukuh aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab pengurusan bencana di peringkat serantau.
Program ini turut menyaksikan penyertaan meluas daripada pempamer dan delegasi antarabangsa, dengan kehadiran lebih 10,000 pengunjung dijangka sepanjang tempoh penganjurannya.
Secara keseluruhan, forum ini bukan sahaja menjadi platform perkongsian kepakaran dan teknologi terkini, malah membuka ruang kepada kerjasama lebih erat antara negara dalam usaha meningkatkan kesiapsiagaan dan keupayaan menghadapi bencana pada masa hadapan.
Berita ini diolah semula oleh Fatin Sajidah Fathuldin, pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L