SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor mengesahkan komitmennya untuk melaksanakan dasar kemasukan murid Tahun Satu seawal usia enam tahun bermula sesi persekolahan 2027, selaras dengan ketetapan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata pelbagai langkah persediaan awal sedang giat dilaksanakan, khususnya melibatkan sekolah di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), bagi memastikan pelaksanaan dasar tersebut berjalan lancar.
Menurut beliau, antara fokus utama kerajaan negeri ketika ini adalah mengoptimumkan penggunaan kemudahan sedia ada termasuk bilik darjah, yang akan disusun semula bagi menampung sehingga 45 murid bagi setiap kelas.
“Langkah seterusnya termasuk menyelaras data murid secara menyeluruh, selain mengenal pasti kawasan berkepadatan tinggi yang dijangka mengalami peningkatan kemasukan pelajar,” katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Sementa, Noor Najhan Mohamad Salleh, pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan negeri akan meneliti keperluan penambahan tenaga pengajar, selain mempertimbangkan pelaksanaan sistem tiga sesi persekolahan berbanding dua sesi sedia ada, bergantung kepada keperluan dan kesesuaian lokasi.
Dalam masa sama, pembangunan infrastruktur tambahan juga akan diberi perhatian, termasuk pembinaan bilik darjah baharu bagi menampung pertambahan bilangan murid apabila dasar tersebut mula dikuatkuasakan.
Mengulas lanjut, Amirudin mengakui wujud kekurangan kira-kira 880 guru ketika ini, namun memberi jaminan bahawa kerajaan negeri sedang merangka strategi untuk mengatasi isu berkenaan secara berperingkat.
“Ada kekurangan 880 guru, namun kerajaan negeri akan bersedia. Antara strategi kita adalah menambah jumlah guru berdasarkan kemampuan kewangan semasa negeri,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa setakat ini pihaknya masih belum menerima anggaran rasmi daripada JAIS berhubung jumlah tambahan guru yang diperlukan bagi sesi 2027. Keperluan tersebut, katanya, akan diperincikan dalam pembentangan Belanjawan 2027 yang dijangka berlangsung hujung tahun ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin menegaskan bahawa semua bangunan sekolah di bawah seliaan JAIS ketika ini berada dalam keadaan selamat, sesuai dan boleh digunakan, berdasarkan penilaian keselamatan yang telah dijalankan.
“Kerajaan negeri sentiasa memantau keadaan sekolah dan bersedia menyalurkan bantuan sekiranya terdapat keperluan daripada pihak sekolah atau Bahagian Pendidikan JAIS,” jelasnya.
Tambah beliau, dalam usaha memperkukuh kemudahan pendidikan, kerajaan negeri sebelum ini telah mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM4 juta khusus untuk sekolah agama di bawah JAIS.
Peruntukan itu bertujuan menambah kemudahan asas seperti meja dan kerusi pelajar, selain menyediakan alat bantuan mengajar bagi memastikan standard pendidikan yang lebih berkualiti dan selaras dengan piawaian semasa.
Pelaksanaan dasar kemasukan murid seawal usia enam tahun ini dijangka memberi impak besar kepada landskap pendidikan negeri, sekali gus menuntut perancangan rapi dari segi sumber manusia, infrastruktur dan pengurusan sekolah bagi memastikan transisi berjalan dengan teratur dan berkesan.
Berita ini diolah semula oleh Fatin Sajidah Fathuldin, pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L