IPOH – Hasrat sebuah keluarga untuk menziarahi ahli keluarga yang meninggal dunia berakhir dengan tragedi apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung di Batu 21, Jalan Tapah–Cameron Highlands, malam tadi.
Dalam kejadian itu, seorang lelaki berusia 44 tahun yang juga pemandu kenderaan disahkan maut di lokasi kejadian, manakala isteri serta anak-anak mereka berusia antara enam hingga 19 tahun mengalami kecederaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima laporan kecemasan sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati keluarga berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Cameron Highlands bagi menziarahi ahli keluarga yang meninggal dunia.
“Hasil maklumat awal, kenderaan dinaiki keluarga ini dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira tiga meter, lalu terbalik di dalam sungai cetek berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan bahawa pasukan bomba terlebih dahulu menjalankan penilaian situasi (size-up) sebelum melaksanakan operasi menyelamat menggunakan konsep SAVER bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan.
“Seorang mangsa tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba, manakala lima lagi mangsa yang cedera telah dibantu keluar lebih awal oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian,” katanya lagi.
Mangsa yang maut kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, sementara semua mangsa yang cedera dihantar ke hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan segera.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Abdul Malik Hasim, mengesahkan bahawa kemalangan tersebut dipercayai berpunca daripada kenderaan yang hilang kawalan sebelum terbabas sendiri tanpa melibatkan kenderaan lain.
“Kenderaan tersebut terjunam ke dalam gaung dan memasuki sungai berhampiran jalan. Bantuan segera daripada pihak bomba dan orang awam berjaya mengeluarkan mangsa ke bahu jalan,” katanya.
Menurut beliau, pemeriksaan oleh pegawai perubatan mengesahkan pemandu lelaki berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah, manakala ahli keluarga lain yang cedera kini menerima rawatan di hospital.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah atau pegawai penyiasat trafik yang bertugas.
Tragedi ini sekali lagi menjadi peringatan kepada semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati, khususnya ketika melalui laluan berbukit dan berselekoh seperti di Jalan Tapah–Cameron Highlands, yang terkenal dengan cabaran pemanduannya terutama pada waktu malam.
Top of Form
Bottom of Form
Berita ini diolah semula oleh Fatin Sajidah Fathuldin, pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L