ISTANBUL – Harga minyak dunia meningkat susulan penutupan berterusan Selat Hormuz serta ketegangan maritim antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang terus menekan pasaran tenaga global.
Penanda aras minyak mentah Brent dilaporkan naik 0.63 peratus kepada AS$105.73 setong, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) meningkat 0.32 peratus kepada AS$96.17 setong.
Kenaikan itu dipacu kebimbangan terhadap gangguan bekalan tenaga susulan konflik di Asia Barat, termasuk tindakan rampasan kapal oleh kedua-dua pihak serta sekatan laluan perkapalan di Selat Hormuz.
Selat Hormuz sebelum ini menjadi laluan utama kira-kira 20 juta tong minyak dan produk petroleum setiap hari, menjadikannya antara laluan tenaga paling kritikal di dunia.
Walaupun gencatan senjata antara Israel dan Lubnan dilanjutkan, situasi itu masih belum memulihkan sepenuhnya aliran perkapalan di kawasan berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) memberi amaran dunia kini berdepan ancaman keselamatan tenaga terbesar dalam sejarah akibat gangguan bekalan yang semakin meruncing. — BERNAMA
Berita ini diolah semula oleh Siti Khadijah Manudin, pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L