Letupan di Nilai: Polis temukan objek disyaki IED bersama suspek ketika ditahan

SEREMBAN – Polis menemukan beberapa objek dipercayai bahan letupan buatan sendiri atau Improvised Explosive Device (IED) bersama seorang lelaki yang ditahan di sekitar Jalan Batang Benar, Nilai petang semalam, susulan kejadian letupan di kawasan Desa Palma, di sini 22 Disember lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, dalam tangkapan jam 4.15 petang itu, polis turut merampas sebuah motosikal dipercayai digunakan suspek berusia 62 tahun.

“Pemeriksaan ke atas tubuh badannya mendapati terdapat kesan kecederaan melecur di bahagian muka, badan, tangan dan kaki.

“Ketika ditahan, dia berada dalam keadaan lemah sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi dan terus menyalurkan maklumat kepada polis, selain menzahirkan penghargaan atas kerjasama masyarakat dalam usaha mengesan suspek.

Alzafny mengesahkan penahanan individu berkenaan di jalan sekitar kawasan Batang Benar, Nilai hasil maklumat orang awam.

Semalam, Alzafny berkata, suspek dikenali sebagai ‘Ayang’ yang terlibat dalam kejadian itu dipercayai mempunyai pengetahuan teknikal dan kemahiran khusus dalam pembuatan bahan letupan berdasarkan penemuan peranti dan peralatan yang dirampas di rumah sewa lelaki berkenaan.

Polis turut menemukan 31 lagi IED di rumahnya dan telah memusnahkan semua bahan letupan berkenaan.

Pada Isnin lalu, beliau dilaporkan berkata, pihaknya menemukan objek disyaki IED susulan kejadian letupan di kawasan Desa Palma, selepas menerima laporan orang awam yang memaklumkan terdapat objek meletup serta paku bertaburan di kawasan itu pada jam 7.08 pagi. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *