'Beri kami masa, Bersatu akan bangkit' - Wan Ahmad Fayhsal

Wan Ahmad Fayhsal Bayang Hamzah Bakal Terajui Parti Baharu

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memberi isyarat bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin bakal dilantik presiden sebuah parti politik baharu yang sedang dibentuk.

Menerusi hantaran panjang di Facebook, Wan Ahmad Fayhsal menyatakan keyakinan penuh terhadap kepimpinan Hamzah dan menegaskan sokongan yang diberikan kepada pemimpin itu dibuat berdasarkan penilaian serta pemerhatian yang mendalam terhadap perjalanan parti selama ini.

“Saya 100 peratus yakin berdasarkan ilmu, pengetahuan langsung dan penelitian rapi menyokong, mendokong serta mempertahankan Datuk Seri Hamzah adalah tindakan yang tepat.

“Insya-Allah tidak lama lagi beliau selaku presiden parti baharu kami,” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau turut menolak dakwaan bahawa Hamzah merupakan pemimpin yang lemah atau sekadar mendapat laluan mudah untuk menduduki jawatan Timbalan Presiden Bersatu sebelum ini.

Menurutnya, Hamzah memiliki sokongan kukuh di peringkat akar umbi, selain dihormati oleh kepimpinan Perikatan Nasional (PN), termasuk pemimpin daripada Pas.

Wan Ahmad Fayhsal turut mendakwa sumbangan Hamzah kepada parti bukan sahaja melibatkan aspek kepimpinan, malah merangkumi pengorbanan masa, tenaga dan kewangan, khususnya ketika Bersatu berdepan cabaran selepas akaun parti dibekukan.

“Sumbangan beliau jauh lebih besar daripada yang diketahui ramai. Bukan sahaja dalam Bersatu, malah perjalanan dan pengurusan PN secara keseluruhannya turut banyak dibantu oleh Hamzah,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, kumpulan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyatakan sokongan kepada Hamzah terdiri daripada individu yang terlibat secara langsung dalam pentadbiran serta pengurusan Bersatu sejak beberapa tahun lalu.

“Kami yang terdiri daripada 19 Ahli Parlimen dan 20 ADUN yang menyokong Datuk Seri Hamzah merupakan bekas pemain utama Bersatu. Kami terlibat dalam mesyuarat, merangka strategi, membentuk dasar dan menguruskan parti hampir lima tahun lamanya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Wan Ahmad Fayhsal turut mengkritik Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan mendakwa bekas Perdana Menteri itu kini telah menyimpang daripada landasan moral dan prinsip perjuangan yang selama ini dibawanya.

Kenyataan tersebut dilihat menambah spekulasi mengenai hala tuju politik kumpulan yang menyokong Hamzah susulan kemelut dalaman yang melanda Bersatu sejak kebelakangan ini.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *