SEPANG – Seorang murid perempuan Tahun Satu meninggal dunia selepas mengalami kesukaran bernafas ketika berada dalam kelas di sebuah sekolah di Dengkil, Selangor, semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita pada jam 7.30 malam.
Menurutnya, mangsa berusia tujuh tahun diberikan bantuan awal pernafasan di lokasi sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Bagaimanapun, kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.
“Bedah siasat dijalankan di Hospital Putrajaya pada jam 8 pagi hari ini dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti keadaan sebenar yang membawa kepada kematian mangsa.
Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan spekulasi berhubung kejadian itu.
Individu yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Vishno Kumar A/L Tharuma Rethinam, menerusi talian 011-11021528.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan memaklumkan Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil langkah sewajarnya bagi membantu pihak yang terkesan.
Katanya, keutamaan kementerian ketika ini adalah memastikan keluarga kanak-kanak berkenaan serta warga sekolah menerima sokongan psikososial yang diperlukan untuk menghadapi kejadian menyedihkan itu.
“Buat masa ini, tumpuan KPM kepada keluarga dan warga sekolah bagi memastikan mereka menerima sokongan psikososial yang diperlukan,” katanya.
Fadhlina berkata, kementerian akan mengambil pendekatan bersesuaian berdasarkan perkembangan siasatan polis dan menyerahkan usaha menentukan punca sebenar kejadian kepada pihak berkuasa berkaitan.
Beliau turut mengambil maklum kenyataan polis mengenai kes berkenaan dan menegaskan tindakan selanjutnya akan diselaraskan mengikut hasil siasatan.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
