KUALA LUMPUR – Amazfit memperkenalkan T-Rex Dual Solar, jam tangan pintar ekspedisi premium yang memberi tumpuan kepada ketahanan bateri dan navigasi bagi pengguna yang melakukan perjalanan jauh dari sumber elektrik.
Amazfit dalam satu kenyataan berkata, model berkenaan ialah jam tangan pintar AMOLED pertama di dunia yang dilengkapi sistem pengecasan solar dwi-sisi, membolehkannya mengumpul tenaga menerusi paparan hadapan dan plat belakang seramik kaca.
Menurut syarikat itu, bateri berkapasiti 660 mAh mampu bertahan sehingga 25 hari bagi penggunaan biasa. Pendedahan harian selama tiga jam pada cahaya 50,000 lux dalam keadaan ujian Amazfit pula boleh memanjangkan hayat bateri sehingga 34 hari.
Panel solar hadapan mengumpul tenaga ketika jam tangan dipakai di bawah cahaya matahari mencukupi, manakala panel belakang mempunyai kawasan pengumpulan dua kali ganda lebih besar. Mod Keutamaan Solar turut meletakkan peranti dalam keadaan kuasa ultra rendah bagi memaksimumkan pemulihan tenaga.
“Dengan T-Rex Dual Solar, kami tidak mahu pengguna terpaksa memilih antara paparan premium yang terang untuk kegunaan harian dengan ketahanan bateri yang diperlukan ketika berada di luar,” kata Naib Presiden Pemasaran Global Amazfit, Sara Webster Wylie.
Bagi pengguna yang berada di kawasan terpencil, pengecasan solar juga membolehkan jam tangan dihidupkan semula selepas baterinya habis sepenuhnya ketika sumber pengecasan biasa tidak tersedia, sekali gus menyediakan akses kepada fungsi penting seperti peta dan maklumat laluan.
“Perkara yang menarik mengenai pengecasan solar bukanlah kemudahan, tetapi sandaran sebenar apabila anda jauh dari tamadun,” kata atlet Amazfit dan pendaki gunung, Jost Kobusch. Beliau berkata, tenaga solar berpotensi mengurangkan keperluan membawa bank kuasa tambahan khusus untuk navigasi.
Apabila penjimatan tenaga menjadi keutamaan, mod bateri Outdoor Extreme mengurangkan penggunaan kuasa sambil mengekalkan fungsi aktiviti luar, termasuk perekodan titik jejak Sistem Kedudukan Sejagat (GPS). Mod Ekspedisi pula direka untuk perjalanan berbilang hari jauh daripada pengecas.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Dari segi binaan, T-Rex Dual Solar menggunakan bezel titanium gred lima dan kristal nilam tahan calar. Peranti itu mempunyai paparan AMOLED 1.32 inci dengan kecerahan puncak sehingga 3,000 nits, ketahanan air 10 ATM serta menyokong aktiviti menyelam rekreasi sehingga kedalaman 50 meter.
Jam tangan pintar berkenaan turut menawarkan lampu suluh terbina dalam dengan pilihan lampu merah, selain menyediakan penggunaan sehingga 41 jam dalam Mod GPS Ketepatan.
Lampu merah direka untuk pencahayaan berintensiti rendah pada waktu malam bagi membantu mengekalkan penglihatan pengguna.

Bagi navigasi, peranti berkenaan menyediakan peta warna penuh pramuat, peta kontur dan ski yang boleh dimuat turun, perancangan laluan pintar serta panduan belok demi belokan.
Ciri LiveShare membolehkan lokasi masa nyata, hala tuju dan maklumat aktiviti dikongsi bersama keluarga atau rakan sepasukan, manakala aplikasi Zepp menyatukan data latihan dan pemulihan tanpa langganan.
T-Rex Dual Solar akan mula dijual pada 23 Oktober 2026 pada harga RM2,799 menerusi pelbagai platfrom.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
