KOTA BHARU – PAS mempersoalkan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN), ketika gabungan itu hanya berbaki dua hari sebelum prosiding semakan kehakiman bagi mencabar tindakan jabatan berkenaan dijadual berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan yang dibuat menjelang prosiding pada 22 Oktober itu menimbulkan persoalan, selain mengecewakan parti berkenaan.
Menurutnya, tindakan RoS itu dilihat PAS sebagai mencerminkan kebimbangan kerajaan MADANI terhadap kekuatan PN, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan pilihan raya umum akan datang.
“PAS melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan RoS memandangkan hanya tinggal dua hari sebelum mahkamah mendengar semakan kehakiman berhubung sekatan yang dikenakan RoS.
“Ini jelas mencerminkan ketakutan kerajaan MADANI terhadap PN, khususnya dalam menghadapi PRN Melaka dan pilihan raya umum akan datang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, PAS bersama parti-parti komponen gabungan itu akan mengadakan mesyuarat tergempar dalam masa terdekat bagi meneliti kesan keputusan berkenaan serta merangka tindakan selanjutnya.
Katanya, perkara itu perlu dibincangkan secara menyeluruh kerana PN dianggotai beberapa parti yang turut memainkan peranan dalam pentadbiran kerajaan negeri.
“Perkara ini memerlukan pertimbangan serius kerana PN terdiri daripada beberapa parti komponen yang juga sebahagian daripada kerajaan negeri.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Isu ini perlu dilihat secara menyeluruh kerana ia boleh membawa implikasi besar terhadap mana-mana gabungan politik pada masa depan,” katanya.
Terdahulu, RoS mengesahkan pembatalan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan yang dikemukakan gabungan itu tidak menjawab alasan pembatalan seperti dinyatakan dalam notis terdahulu.
Menurut laporan media, keputusan itu dibuat mengikut subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832), selepas RoS meneliti dokumen serta representasi yang diserahkan PN pada 12 Oktober lalu.
Keputusan berkenaan hadir ketika parti-parti politik sedang mempergiat persiapan menghadapi PRN Melaka, yang menetapkan 14 November ini sebagai hari pengundian.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
