Peguam Tawar Khidmat Pro Bono Dalam Kes Kemalangan Libatkan Guru, Tekankan Keadilan Berteraskan Kemanusiaan

KOTA BHARU -Seorang pengamal undang-undang jenayah tampil menawarkan khidmat nasihat perundangan secara percuma kepada semua pihak yang terlibat dalam insiden kemalangan tragis membabitkan seorang guru wanita dan dua pelajar di hadapan surau sebuah sekolah semalam.

Peguambela dan Peguamcara, Nik Saiful Adli Burhan berkata, inisiatif tersebut digerakkan atas dasar kemanusiaan serta keprihatinan terhadap implikasi undang-undang dan emosi yang dihadapi kedua-dua pihak susulan kejadian berkenaan, yang kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, kes itu bukan sahaja perlu dilihat dari sudut perundangan semata-mata, malah harus dinilai secara menyeluruh dengan mengambil kira dimensi moral, latar belakang individu terlibat serta keadaan sebenar yang membawa kepada kejadian tersebut.

“Sebagai pengamal undang-undang yang berpengalaman mengendalikan pelbagai kes kemalangan maut, saya melihat pentingnya pendekatan yang lebih seimbang, iaitu bukan sekadar menghukum, tetapi memahami konteks sesuatu kejadian,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau menjelaskan, di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, individu yang disabitkan kesalahan boleh berdepan hukuman penjara minimum lima tahun.

Namun, katanya, pelaksanaan hukuman itu perlu diteliti dengan penuh kebijaksanaan, khususnya apabila melibatkan kes kecuaian tanpa unsur niat jenayah.

Tambah beliau, terdapat perbezaan ketara antara kes berkenaan dengan insiden melibatkan pemandu mabuk atau perlumbaan haram yang sering menjadi perhatian umum kerana wujud elemen pilihan dan kesengajaan sebelum kejadian berlaku.

“Dalam kes ini, ia dilihat sebagai satu kemalangan tragis yang tidak dirancang. Menyamaratakan pendekatan hukuman tanpa mengambil kira faktor ini boleh menjejaskan prinsip keadilan dan kemanusiaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nik Saiful turut berpandangan hukuman berat tidak semestinya menjadi faktor penentu dalam mengurangkan kadar kecuaian di jalan raya, memandangkan kecuaian lazimnya berlaku secara tidak disengajakan dan sukar diramal.

“Sejarah perundangan menunjukkan kes di bawah peruntukan ini jarang melibatkan pesalah berulang. Oleh itu, pendekatan pencegahan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada hukuman berat semata-mata,” katanya.

Sehubungan itu, beliau melalui firma guamannya, Tetuan Irmohizam Rosley & Nik Adli menawarkan khidmat nasihat undang-undang secara pro bono kepada guru yang terlibat bagi memastikan haknya sebagai individu yang diuji terpelihara di sisi undang-undang.

Pada masa sama, tawaran turut dibuka kepada keluarga mangsa bagi membantu mereka memahami proses perundangan dengan lebih jelas, selain memastikan kebajikan mereka terus diberi perhatian sewajarnya.

Menurutnya, skop bantuan tersebut merangkumi khidmat nasihat dari peringkat awal siasatan, proses penilaian oleh pihak berkuasa sehingga kepada keputusan pendakwaan oleh Jabatan Peguam Negara dan prosiding mahkamah sekiranya terdapat pertuduhan.

Beliau berkata, inisiatif itu juga bertujuan menjadi jambatan antara kedua-dua pihak agar tidak timbul salah faham atau ketegangan yang boleh memburukkan lagi keadaan.

“Kami tidak mahu ada pihak ketiga yang cuba mengambil kesempatan atau melaga-lagakan kedua-dua pihak demi kepentingan tertentu di sebalik tragedi ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Nik Saiful menegaskan, pendirian itu bukan bermaksud membelakangkan undang-undang sedia ada, sebaliknya mengangkat prinsip bahawa keadilan perlu dilaksanakan dengan penuh hikmah dan pertimbangan.

Beliau turut menyeru masyarakat agar melihat kes berkenaan dengan lebih rasional dan berempati, selain memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan tanpa tekanan sentimen yang berlebihan.

“Dalam apa jua keadaan, keadilan bukan sekadar menghukum, tetapi juga memulihkan. Adalah penting untuk kita memastikan kedua-dua pihak, termasuk keluarga mangsa, mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.

Beliau berharap agar proses perundangan yang sedang berjalan dapat mencapai penyelesaian adil dan seimbang, sekali gus memberikan ketenangan kepada semua pihak yang terkesan dengan tragedi tersebut.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *