CHERAS – Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) menganjurkan Majlis Kasih Syawal 2026 bagi meraikan 178 penghuni Rumah Seri Kenangan Cheras sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Majlis turut menghimpunkan rakan strategik, ikon kemanusiaan serta rakan media dalam suasana penuh kemesraan dan kasih sayang.
Majlis Kasih Syawal adalah inisiatif IR Malaysia yang bertujuan menyantuni komuniti, khususnya warga emas, di samping menghargai sokongan berterusan daripada rakan kerjasama yang sentiasa bersama dalam menjayakan misi kemanusiaan organisasi.

Antara aktiviti sepanjang majlis termasuk jamuan makan, persembahan nyanyian oleh Afad Raihan, agihan duit raya serta penyerahan sumbangan barangan keperluan penghuni seperti dua unit peti ais, lampin dewasa dan sabun basuh baju hasil sumbangan serta tajaan orang ramai kepada Rumah Seri Kenangan Cheras.
Selain itu, IR Malaysia turut mengagihkan duit raya dan pek makanan panas kepada penghuni Rumah Seri Kenangan Cheras yang berada di kawasan asrama, yang uzur akibat kekangan fizikal dan kesihatan.
Pengerusi IR Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, program seumpama itu mencerminkan komitmen berterusan organisasi dalam memperkukuh nilai kemanusiaan dan menyebarkan kebaikan kepada golongan memerlukan, tanpa mengira latar belakang.

“Aidilfitri adalah waktu untuk kita kembali kepada fitrah, mengukuhkan silaturahim, menyebarkan kasih sayang dan meraikan kebersamaan.
“Melalui Majlis Kasih Syawal ini, kami ingin memastikan penghuni di sini turut merasai kegembiraan dan kemeriahan Syawal, tanpa merasa dilupakan oleh masyarakat.
“Majlis ini bukan sekadar acara sambutan Aidilfitri, tetapi merupakan tanggungjawab dan keprihatinan kita terhadap komuniti, khususnya golongan warga emas yang merupakan khazanah berharga buat kita,” katanya.
Beliau berkata, sokongan berterusan daripada rakan strategik, ikon kemanusiaan dan rakan media amat penting dalam memastikan usaha kebajikan dapat diperluaskan kepada lebih ramai golongan yang memerlukan.

“Setiap sokongan yang diberikan, sama ada dalam bentuk sumbangan, kerjasama mahupun hebahan, memainkan peranan besar dalam membantu kami menyampaikan bantuan dan harapan kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya.
Majlis yang diacarakan oleh pempengaruh terkenal, Fendi Mohammad (Foodie Fendi) turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pelawat Rumah Seri Kenangan Cheras, Datuk Seri Zulkeflee Hazeh; Timbalan Pengerusi Puspanita Kementerian Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW), Datin Rosnida Musa; Ahli Lembaga Pemegang Amanah IR Malaysia, Datuk Nur Iskandar A Samad.
Turut hadir memeriahkan majlis, Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia, Siti Fadilah Mohd Hood; Timbalan Penguasa Rumah Seri Kenangan Cheras, Anuar Ab Ghalim; serta Ikon Kemanusiaan IR Malaysia, Irma Hasmie, Chef Imelda dan Adi Saujana.
IR Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan majlis itu termasuk penaja; Mek Buyong Kitchen, Cendol Sawit Melawati, Mat Telawi Trading, DOSZ Coffee, BeliKek.Com, Foodtalks & Bangi Golf Resort, Laksa Redup Rimba, Layannn Titbits, HWC Coffee serta penaja individu.
IR Malaysia turut berharap inisiatif seumpama ini dapat terus dilaksanakan dalam menyantuni komuniti yang memerlukan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L