Menyeimbangkan TVET Berimpak Tinggi dan Laluan Asas Demi Keterangkuman B40

Oleh: Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali

DALAM usaha memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), penekanan terhadap program berimpak tinggi dilihat semakin dominan selaras dengan keperluan industri dan tuntutan ekonomi negara.

Namun, di sebalik keutamaan ini, wujud keperluan mendesak untuk memastikan sistem TVET kekal inklusif dan tidak meminggirkan golongan B40 yang masih bergantung kepada program asas sebagai pintu masuk ke dunia kemahiran.

Hakikatnya, program berimpak rendah yang dilaksanakan oleh Pusat Bertauliah memainkan peranan penting dalam menyediakan laluan awal kepada golongan yang berdepan kekangan akademik, kewangan dan sosial.

Program ini bukan sekadar latihan asas, tetapi menjadi asas pembinaan kompetensi sebelum peserta beralih ke tahap kemahiran yang lebih tinggi. Tanpa laluan ini, sebahagian besar golongan B40 berisiko tercicir daripada sistem TVET arus perdana.

Jika pembiayaan TVET terlalu tertumpu kepada program berimpak tinggi yang bersifat kompetitif dan berintensif tinggi, jurang akses dalam ekosistem kemahiran akan semakin melebar.

Golongan yang sepatutnya menjadi sasaran utama pembangunan kemahiran tidak mendapat peluang sewajarnya, sekali gus menjejaskan rantaian pembangunan tenaga kerja negara yang memerlukan aliran bakat dari peringkat asas hingga kepakaran.

Dalam konteks ini, penyelarasan tafsiran High Growth High Value (HGHV) dan program berimpak tinggi oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) merupakan langkah strategik yang wajar disokong.

Pendekatan ini beralih daripada penilaian berasaskan sektor kepada pendekatan yang lebih tepat iaitu berdasarkan tahap kompleksiti kerja melalui Hierarki Kompleksiti Kerja (HKK). Melalui kerangka ini, program dapat dikenal pasti dengan lebih jelas mengikut tahap kemahiran dan keperluan sebenar pasaran.

Pendekatan berasaskan HKK membolehkan pemisahan fungsi yang lebih jelas antara program berimpak tinggi dan program asas.

Program berimpak tinggi difokuskan kepada pekerjaan berasaskan kepakaran dan teknikal kompleks, manakala program berimpak rendah berperanan sebagai laluan sokongan yang membina asas kemahiran.

Ini menunjukkan bahawa kedua-duanya saling melengkapi dalam ekosistem TVET, bukannya bersaing.

Selain itu, pendekatan ini penting bagi memastikan sasaran melahirkan 120,000 graduan TVET setahun oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dapat dicapai secara inklusif dan seimbang, dengan penyertaan menyeluruh daripada pelbagai lapisan termasuk golongan B40.

Tanpa penyertaan kumpulan ini melalui program asas, sasaran tersebut berisiko tidak mencerminkan keperluan sebenar pasaran tenaga kerja yang memerlukan pelbagai tahap kemahiran.

Sehubungan itu, mekanisme pembiayaan yang lebih fleksibel perlu dipertimbangkan bagi menyokong program berimpak rendah sebagai laluan progresif.

Dalam masa yang sama, persepsi terhadap program asas perlu diubah agar tidak lagi dilihat sebagai pilihan kedua, sebaliknya sebagai komponen penting dalam pembangunan modal insan negara.

Kesimpulannya, pembangunan TVET yang mampan memerlukan keseimbangan antara kecemerlangan dan keterangkuman.

Penyelarasan HGHV melalui pendekatan HKK bukan sahaja memperkukuh ketepatan pembiayaan, tetapi turut memastikan tiada golongan yang tercicir, sekali gus menjadikan TVET sebagai pemacu utama pembangunan tenaga kerja negara yang inklusif dan berdaya saing.

Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman bin Hj. Md. Ali adalah Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *