Sejati MADANI Perkasa Komuniti Melaka Dengan Peruntukan Lebih RM40 Juta

ALOR GAJAH — Usaha memperkasa pembangunan komuniti di Melaka terus diperkukuh apabila Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan melebihi RM40 juta bagi pelaksanaan Projek Sejati MADANI sejak 2024.

Timbalan Pengarah Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) Melaka, Afzai Nizam Sandiman berkata, keseluruhan peruntukan berjumlah RM40.28 juta itu disalurkan secara berperingkat bagi memastikan pelaksanaan program berjalan lancar dan memberi impak menyeluruh kepada komuniti sasaran.

Beliau menjelaskan, daripada jumlah tersebut, RM25.39 juta telah diagihkan pada 2024, diikuti RM14.88 juta pada 2025, manakala RM2.5 juta lagi diperuntukkan bagi tahun ini sebagai kesinambungan kepada inisiatif pembangunan komuniti di negeri berkenaan.

“Setakat ini, sebanyak 1,013 permohonan diterima dengan 743 kelulusan telah diberikan sepanjang dua tahun pelaksanaannya.

“Ia membabitkan 254 komuniti yang memohon 489 projek pada 2024, dan 149 komuniti serta 254 permohonan projek pada 2025,” katanya kepada BERNAMA.

Beliau menyatakan bahawa Melaka Tengah mencatatkan bilangan permohonan tertinggi sebanyak 178 sepanjang dua tahun lalu, manakala Alor Gajah merekodkan 121 permohonan dan Jasin sebanyak 104 permohonan.

Menurutnya, pada tahun ini pihaknya akan memberi fokus kepada persatuan belia bagi menjana pendapatan golongan tersebut.

Katanya, usaha itu selaras dengan hasrat kerajaan Persekutuan untuk memperkasakan belia dalam bidang keusahawanan yang mampu menjana sumber pendapatan kepada persatuan masing-masing.

Inisiatif tersebut selaras dengan langkah Kerajaan Persekutuan yang memperhatikan RM250 juta khusus untuk persatuan belia di seluruh negara bagi Projek Sejati MADANI, seperti yang diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari sebelum ini — BERNAMA

Berita ini diolah semula oleh Fatin Sajidah Fathuldin. Beliau adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *