Anwar–Albanese Perhebat Kerjasama Tenaga, Kukuhkan Hubungan Strategik

PUTRAJAYA — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan rakan sejawatnya dari Australia, Anthony Albanese dalam satu pertemuan rasmi hari ini, bagi membincangkan kerjasama dalam sektor tenaga serta usaha memperkukuh hubungan dua hala di tengah ketidaktentuan geopolitik global.

Pertemuan tersebut diadakan selepas Albanese diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, bersempena lawatan rasmi beliau ke Malaysia selama tiga hari bermula 15 hingga 17 April.

Lawatan ini mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk mempererat hubungan strategik sedia ada.

Dalam perbincangan itu, kedua-dua pemimpin turut dijangka meneliti perkembangan konflik di Asia Barat serta implikasinya terhadap pasaran tenaga dunia, termasuk risiko gangguan kepada rantaian bekalan dan laluan perdagangan antarabangsa.

Mereka juga akan bertukar pandangan mengenai pengukuhan kerjasama dalam keselamatan tenaga, termasuk memastikan kestabilan bekalan, meningkatkan daya tahan infrastruktur serta meneroka peluang dalam tenaga boleh diperbaharui dan teknologi bersih.

Pertemuan empat mata itu akan disusuli mesyuarat dua hala melibatkan menteri kanan dan pegawai kedua-dua negara bagi menilai kemajuan Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-Australia (CSP) yang diwujudkan pada 2021.

Australia kekal sebagai rakan dagang penting Malaysia apabila berada di kedudukan ke-12 terbesar pada 2025 dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM78.63 bilion (AS$18.38 bilion)

Daripada jumlah itu, eksport Malaysia mencecah RM48.64 bilion manakala import berjumlah RM29.99 bilion.

Hubungan kedua-dua negara turut diperkukuh melalui kebergantungan dalam sektor tenaga.

Australia membekalkan kira-kira 96 peratus daripada import gas asli cecair (LNG) Malaysia, yang menjadi komponen penting dalam menyokong rangkaian gas di Semenanjung Malaysia serta menyokong pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Pada masa yang sama, Malaysia pula merupakan antara pembekal utama bahan api kepada Australia, dengan menyumbang sekitar 17 peratus daripada jumlah import bahan api negara tersebut, menurut data bilateral 2025.

Aliran itu mencerminkan hubungan bekalan komersial yang kukuh dan berterusan antara kedua-dua negara.

Berita ini diolah semula oleh Fatin Sajidah Fathuldin. Beliau adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *