Perak Kekalkan Had ZPLH, Majoriti Kawasan Telah Diluluskan

IPOH — Kerajaan negeri Perak mengekalkan had keluasan Zon Pembangunan Ladang Hutan (ZPLH) tanpa sebarang penambahan baharu, dengan sebahagian besar kawasan telah pun diluluskan setakat ini.

Menteri Besar, Saarani Mohamad berkata hanya 809 hektar masih dalam proses kelulusan sehingga 31 Disember 2025, daripada keseluruhan 100,000 hektar ZPLH yang diperuntukkan kepada Perak melalui Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-68 pada 2012.

Menurut beliau, kawasan ZPLH tersebut merangkumi kira-kira tiga peratus daripada keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) negeri, dengan 31,566 hektar atau sebahagian besar daripadanya telahpun mendapat kelulusan setakat ini.

Saarani berkata pembangunan ladang hutan dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan perancangan lebih tersusun serta pemantauan berkesan terhadap impak alam sekitar dan pengurusan sumber hutan.

“Ingin saya tegaskan bahawa pembukaan kawasan ladang hutan dalam HSK adalah tertakluk sepenuhnya kepada had keluasan ZPLH yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.

“Pada masa ini, kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang perancangan untuk membuka atau menambah keluasan baharu bagi ZPLH di Perak,” katanya ketika menjawab soalan Azman Noh (BN-Pengkalan Baharu).

Mengulas status pelaksanaan, beliau berkata sebanyak 8,810 hektar ladang hutan telah dibangunkan, dengan 8,184 hektar sudah ditanam dan 626 hektar masih dalam proses penanaman, manakala 22,756 hektar belum dibangunkan.

Menjawab soalan tambahan Azman, Saarani berkata Jabatan Perhutanan Negeri Perak mengenal pasti 10 spesies pokok sesuai berdasarkan kesesuaian tapak, kadar pertumbuhan, permintaan pasaran dan potensi pulangan ekonomi.

Saarani berkata 10 spesis itu adalah Batai (Paraserianthes falcataria), Getah Klon Balak (Hevea spp), Khaya (Khaya ivorensis), Jati (Tectona grandis), Kelampayan (Neolamarckia cadamba), Binuang (Octomeles sumatrana), Sentang (Azadirachta excelsa), Eucalyptus (Eucalyptus spp), Karas (Aquilaria spp) dan Jelutong (Dyera costulata).

Spesies berkenaan ialah Batai, Getah Klon Balak, Khaya, Jati, Kelampayan, Binuang, Sentang, Eucalyptus, Karas dan Jelutong.

Difahamkan, keutamaan pada masa ini diberikan kepada spesies Eucalyptus kerana ia mempunyai kadar tumbesaran yang cepat, mencapai tempoh matang dalam kira-kira lapan hingga 10 tahun, serta memerlukan tahap penyelenggaraan yang rendah.

“Dari segi hasil, Eucalyptus dianggarkan mampu menghasilkan sekitar 150 meter padu kayu per hektar bagi satu pusingan tuaian, bergantung kepada amalan silvikultur dan kesesuaian tapak.

“Berhubung perbandingan dengan tanaman kelapa sawit, pokok dari spesies ladang hutan dilihat sebagai satu alternatif yang berdaya maju khususnya bagi kawasan yang kurang sesuai untuk sawit seperti tanah berbukit atau kurang subur,” katanya. — BERITA HARIAN

Berita ini diolah semula oleh Fatin Sajidah Fathuldin. Beliau adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *