KUALA LUMPUR – Firma perkhidmatan pelancongan Golden Destinations Group Bhd memulakan dagangannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada harga 49 sen, premium 8.89 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 45 sen.
Syarikat yang beroperasi sebagai perancang perjalanan keluar perkhidmatan penuh itu, merupakan kaunter paling aktif diniagakan di Bursa, meningkat sehingga 4.5 sen atau 10 peratus kepada paras tertinggi awal 49.5 sen.
Syarikat itu, yang telah mengumpul kira-kira RM90 juta daripada IPOnya, merancang untuk memperuntukkan lebih separuh daripada hasil tersebut untuk menubuhkan ibu pejabat berpusat baharu dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Baki dana akan digunakan untuk aktiviti promosi, pengembangan ke Sarawak dan Singapura, perbelanjaan modal untuk sistem dan infrastruktur teknologi maklumat, serta pertumbuhan tenaga kerja.
Sebahagian juga akan diketepikan untuk modal kerja dan perbelanjaan penyenaraian.
Pengarah Urusan Golden Destinations, Mita Lim, berkata syarikat beroperasi terutamanya sebagai kurator pengalaman perjalanan keluar perniagaan-ke-perniagaan (B2B) di bawah jenama utamanya, Golden Destinations
“GD memberi tumpuan kepada mereka bentuk jadual perjalanan tersusun serta membangunkan pakej pengalaman perjalanan yang memenuhi keperluan pelbagai segmen pelanggan,” katanya.
Beliau berkata, syarikat turut menyelaras perkhidmatan pelancongan bersama rakan kongsi global bagi memastikan produk yang ditawarkan kekal kompetitif di pasaran.
Menurutnya, model perniagaan itu disokong oleh rangkaian lebih 800 ejen pelancongan di seluruh negara yang mengedarkan pakej perjalanan kepada pelancong keluar.
Golden Destinations menawarkan portfolio pakej perjalanan merangkumi destinasi di Asia, Eropah, Amerika, Oceania dan Afrika, yang memenuhi pelbagai segmen pelancong melalui rangkaian ejen pelancongan yang luas.
UOB Kay Hian (M) Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO Golden Destinations.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L