Sunan Bonang
SUNAN Bonang dilahirkan pada tahun 1465 dengan nama Raden Maulana Makhdum Ibrahim. Beliau ialah anak kepada Sunan Ampel dan Nyai Ageng Manila. Bonang ialah sebuah desa di Rembang.
Sunan Bonang banyak menggubah sastera berbentuk suluk atau penyembuh jiwa. Sunan Bonang juga terkenal dalam hal ilmu kebatinannya. Penekanan keilmuan yang dicipta oleh Sunan Bonang ialah mengajak murid-muridnya melakukan sujud atau solat dan zikir. Beliau meninggal dunia pada tahun 1525 dan dimakamkan di Bonang atau di Tuban.
Sunan Kudus
Sunan Kudus yang nama sebenarnya Syeikh Ja’afar Sadiq ialah anak kepada Raden Uthman Haji (Sunan Ngudung) bersama dengan Puteri Nyai Ajeng anak kepada Sunan Ampel. Beliau meninggal dunia dalam keadaan bersujud ketika mengimamkan solat Subuh di Masjid Menara Kudus dan dimakamkan berhampiran masjid itu.
Sepanjang hayat beliau pernah memegang jawatan sebagai Penasihat Sultan Demak, Panglima Perang tentera Demak, Kadi, Mufti, Imam Besar Masjid Demak dan Masjid Kudus, Ketua Pasar Islam Wali Songo, Penanggungjawab Pencetak Dinar Dirham Islam dan Ketua Baitulmal Wali Songo. Beliau dikatakan anggota Wali Songo yang paling alim (Waliyyul Ilmi). Jangka hayat beliau dikatakan mencapai 150 tahun dan meninggal dunia pada tahun 1550.
Sunan Kudus bersama ayah dan kerabatnya telah berpindah dari al-Quds Palestin ke Pulau Jawa. Sunan Kudus ialah keturunan ke-24 daripada Nabi Muhammad SAW. Belliau banyak berguru dengan Sunan Kali Jaga atau Kali Jogo dan menggunakan gaya berdakwah ala gurunya itu yang sangat toleran pada budaya setempat serta cara penyampaian yang halus.
Pada tahun 1530, Sunan Kudus mendirikan sebuah masjid di desa Kerjasan, Kota Kudus yang kini terkenal dengan nama Masjid Agung Kudus dan masih bertahan sehingga sekarang. Masjid itu berada di tengah Kota Kudus Jawa Tengah.
Sunan Muria
Nama asal Sunan Muria ialah Raden Umar Said. Menurut beberapa riwayat, beliau ialah anak kepada Sunan Kali Jaga. Nama Sunan Muria berasal dari nama gunung (Gunung Muria) yang terletak di sebelah utara Kota Kudus, Jawa Tengah, tempat beliau dimakamkan.
Sunan Muria menjadikan desa-desa terpencil sebagai pusat operasi dakwahnya di sepanjang lereng Gunung Muria dengan memberikan tumpuan kepada kaum pedagang, nelayan dan rakyat biasa bersesuaian dengan sifatnya yang suka menyendiri.
Sunan Kali Jogo / Kali Jaga
Seorang tokoh Wali Songo yang sangat dekat dengan orang Islam di Pulau Jawa kerana kemampuannya memasukkan pengaruh Islam ke dalam tradisi Jawa. Makamnya terletak di Kadilangu, Demak. Usia beliau dikatakan mencapai lebih 100 tahun. Dengan demikian, beliau mengalami masa akhir kekuasaan Majapahit (berakhir pada tahun 1478), Kesultanan Demak, Kesultan Cirebon dan Banten.
Beliau juga terlibat dengan perancangan pembinaan Masjid Agong Cirebon dan Masjid Agong Demak. Tiang atau pecahan kayu yang merupakan satu daripada tiang utama masjid adalah dari kreativiti Sunan Kali Jogo.
Sunan Kali Jogo dikatakan lahir pada tahun 1450 dengan nama Raden Said, berasal dari orang Jawa asli berketurunan bangsawan. Nama lain Sunan Kali Jogo ialah Lokajaya, Syeikh Malaya, Pangeran Tuban dan Raden Abdurrahman. Menurut cerita, sebelum menjadi Wali Songo, Raden Said seorang perompak yang selalu mengambil hasil bumi di gudang penyimpanan hasil bumi negeri. Hasil rompakan itu akan dibahagikan kepada orang miskin.
Pada suatu hari, ketika Raden Said berada di hutan, beliau melihat seorang lelaki tua bertongkat. Orang itu ialah Sunan Bonang. Raden Said telah merampas tongkat orang tua itu kerana menyangka tongkat itu tongkat emas. Katanya, hasil rompakan itu akan dibahagikan kepada orang miskin.
Bagaimanapun, Sunan Bonang tidak bersetuju dengan tindakannya itu. Beliau lalu menasihati Raden Said bahawa Allah SWT tidak akan menerima amal yang buruk. Lalu Sunan Bonang menunjukkan pohon areng emas dan mengatakan apabila Raden Said ingin mendapatkan harta tanpa usaha, maka ambillah buah areng emas itu.
Ini telah mendorong Raden Said menjadi murid Sunan Bonang. Raden Said lalu mengikut Sunan Bonang ke tepi sungai sambil menyatakan keinginannya untuk menjadi murid kepada Sunan Bonang.
Sunan Bonang menyuruh Raden Said bersemadi sambil menjaga tongkatnya yang ditancapkan di tepi sungai. Raden Said tidak dibenarkan berganjak selagi Sunan Bonang tidak datang bertemu dengannya. Raden Said lalu melaksanakan perintah itu. Raden Said telah tertidur dalam masa yang agak lama, tanpa disedari akar dan rumput telah menutupi tubuhnya.
Tiga tahun kemudian Sunan Bonang datang dan membangunkan Raden Said. Oleh sebab Raden Said telah menjaga tongkat Sunan Bonang yang ditancapkan di tepi sungai, maka Raden said telah digantikan namanya dengan Kali Jaga atau Kali Jogo, yang bermaksud penunggu sungai.
Lalu diberikan pendidikan dan pelajaran agama yang secukupnya. Dengan ilmu yang didapatinya, Raden Said meneruskan dakwah Islamiah sehingga beliau dikenali sebagai Sunan Kali Jogo. Penyebaran Islam di Jawa Tengah di sebelah selatan, daerah yang sekarang dinamakan Surakarta dan Yogyakarta diterokai oleh seorang anak murid Sunan Kali Jogo, iaitu Kiai Ageng Pandanarang atau Sunan Tembayat.
Sunan Drajat
Dilahirkan pada tahun 1470 dan nama asalnya ialah Raden Qasim. Beliau mendapat gelaran Raden Syarifuddin. Beliau anak kepada Sunan Ampel dan saudara kepada Sunan Bonang.
Setelah menguasai pelajaran Islam, beliau menyebarkan agama itu di desa Drajat sebagai pusat kegiatan dakwahnya. Sebagai penghargaan atas jasanya menyebarkan agama Islam dan membasmi kemiskinan dengan menciptakan kehidupan yang makmur, beliau telah memperoleh gelaran Sunan Mayang Madu daripada Raden Patah Sultan Demak pada tahun 1520.
Kesimpulan
Darah keturunan Sayid Hussin Jamadil Kubro bersama-sama dengan keturunan raja-raja Kota Grahi, Langkasuka, Campa, Pattani, Kelantan dan Johor telah memberi impak yang sangat penting dan besar kepada penyebaran Islam di Alam Melayu.
Sayid Hussin Jamadil Kubro yang berketurunan Ahlil-Bait, iaitu Nabi Muhammad SAW, telah menjadi pemangkin kepada penyebaran agama Islam secara langsung di Alam Melayu.
Melalui perkahwinannya dengan puteri-puteri raja kerajaan-kerajaan Melayu pada kurun ke-15, keturunannya telah menjadi pendakwah-pendakwah yang hebat di serata ceruk rantau dan kepulauan Alam Melayu. Ini ialah legasi hebat ditinggalkan kepada generasi hari ini.
Keturunan Nabi Muhammad SAW itu telah menjadi air hujan yang sejuk membasahi bumi dan mendapat rahmatnya sebagai negara-negara Islam di sebelah selatan hemispera ini. Keturunan yang dicetuskan daripada perkahwinan itu hidup sehingga kini dan patut berasa terhormat dengan nasab yang dimiliki.
Mereka bertanggungjawab untuk menentukan Islam dan keturunannya terus menepati kesucian kehormatan agama Islam, agama yang diakhiri oleh Allah SWT sebagai agama umat Nabi Muhammad SAW. Malah, Islam terus berkembang didokong oleh ulama-ulama Pattani-Kelantan dan Alam Melayu yang lainya.
Semua ini ialah hasil usaha golongan Sayid Hussin Jamadil Kubro dan keturunannya menyebarkan Islam di rantau ini. Masih banyak lagi nama ulama yang berasal dari Kelantan dan Pattani yang tidak tersenarai di sini. Mereka telah memainkan peranan sebagai ulama, pembesar dan mufti menyebarkan dakwah Islam sehingga masyarakat Islam di Malaysia dan seluruh Alam Melayu dapat terus berpegang kukuh dengan ajaran Islam sehingga hari ini. – NasionalDaily
Bersambung
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252