KUALA LUMPUR – Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang dikeluarkan setiap tahun oleh Jabatan Audit Negara turut mempunyai beberapa kelemahan sehingga menjurus kepada penemuan yang tidak tepat, kata bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.
Beliau yang juga bekas Menteri Kesihatan mengakui berdepan dengan banyak kelemahan dan beberapa kesalahan dalam LKAN ketika menjawat jawatan menteri.
Sebagai contoh, Khairy berkata, antara kelemahan tersebut adalah melibatkan julat masa audit tersebut dijalankan dan metodologi yang diguna pakai.
Beliau memaklumkan, beberapa isu besar melibatkan dirinya sewaktu menjadi menteri pernah dibangkitkan dalam LKAN seperti Sukan SEA 2017 dan pengagihan vaksin.
“Kita tak boleh dalam keadaan untuk mengatakan semua yang dibuat oleh Jabatan Audit Negara tidak boleh dipersoalkan.
“Ada kalanya disebabkan kesalahan metodologi yang digunakan menyebabkan penemuan LKAN tak tepat, ada kelemahan.
“Kadang-kadang audit fokus kepada masalah spesifik, tak nampak gambaran yang lebih besar,” katanya dalam episod terbaharu podcast Keluar Sekejap yang dikendalikan bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.
Khairy mengulas perkara itu susulan pendedahan LKAN Siri 2/2024 baru-baru ini yang menyasarkan laporan ke atas beberapa organisasi seperti Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dan Majlis Profesor Negara (MPN) sehingga menyebabkan campur tangan pihak penguatkuasaan.
Walaupun mencatatkan kedudukan kewangan yang stabil dan lebih 98 peratus pelaburan menguntungkan, tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan ke atas kakitangan HRD Corp dikhuatiri melemahkan syarikat kerajaan itu dari segi moral dan daya saingnya di masa depan.
Mengulas lanjut, KJ berkata, kadang-kadang laporan tersebut yang ditulis berjela-jela sehingga memberi persepsi seolah sumber tersebut dibazirkan. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252