BERITA UTAMA
Liga-M berpotensi melingkup andai isu tunggakan gaji berlarutan

‘Hukuman ke atas Selangor terlalu berat’

SURABAYA – Hukuman dikenakan kepada Selangor FC (SFC) susulan keputusannya tidak menyertai Piala Sultan Haji Ahmad Shah yang membawa kepada pembatalan saingan itu sememangnya satu tindakan wajar oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Namun, di sebalik kewajaran hukuman yang bertujuan memberi pengajaran kepada pasukan itu, pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli beranggapan empat hukuman dikenakan kepada The Red Giants sebagai satu hukuman yang agak berat.

Malah, Pekan turut menyifatkan pasukan itu bagaikan ditimpa malang berganda-ganda susulan hukuman itu, apatah lagi selepas mengambil kira punca yang menyebabkan pasukan berkenaan membuat keputusan untuk tidak menyertai saingan pembuka tirai, Mei lalu.

“Memang betul hukuman perlu dikenakan kerana jika Selangor bebas begitu sahaja, nanti ia akan jadi tak adil kalau pasukan lain pun buat perkara sama. Jadi ini boleh menjadi pengajaran kepada semua pasukan dan juga kepada Selangor supaya tidak mengulangi perkara sama.

“Tetapi kalau kita lihat, hukuman yang dikenakan itu agak berat apatah lagi Selangor bukan suka-suka untuk menarik diri kerana mereka ada alasan yang kuat dan relevan ketika itu. Jika mereka teruskan, mungkin akan timbul kemudaratan yang lain pula.

“Malah ia (penarikan diri) juga direstui oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Mungkin baginda ada sebab tertentu untuk merestui tindakan itu dan ia dibuat berdasarkan pertimbangan teliti.

“Sepatutnya hukuman diberikan tidaklah seberat ini, jadi saya harap Selangor diberikan peluang untuk membuat rayuan,” kata Pekan ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, MFL mengenakan empat bentuk hukuman terhadap Selangor susulan tindakan pasukan itu ‘tidak hadir’ pada aksi Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, 10 Mei lalu.

Hukuman yang diputuskan menerusi mesyuarat Lembaga Pengarah MFL itu termasuk denda RM100,000 yang mana wang berkenaan akan disumbangkan kepada badan kebajikan yang akan diputuskan kelak.

Badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu memaklumkan skuad Gergasi Merah turut dikenakan tiga lagi hukuman termasuk bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah, JDT dan MFL selain pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025.

“MFL akan mengumpul maklumat serta kos yang dikemukakan oleh JDT dan Sekretariat MFL sebelum diserahkan kepada Selangor untuk semakan dan perbincangan selanjutnya.

“Perlawanan Liga Super (LS14) membabitkan Selangor menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya akan dimainkan tanpa penonton.

“Operasi perlawanan ini akan dilaksanakan dengan kerjasama antara MFL dan Selangor dengan syarat kemasukan wakil terpilih kedua-dua kelab yang akan diselaraskan untuk kehadiran pada hari perlawanan,” kata MFL dalam satu kenyataan, semalam. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *