BN desak kerajaan perketat semak imbang kuasa MCMC, pertahan kebebasan media

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) mendesak kerajaan melaksanakan pembaharuan terhadap tadbir urus ekosistem digital negara bagi memastikan kuasa pengawalseliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak disalahgunakan sehingga menjejaskan kebebasan media dan hak rakyat bersuara.

BN menegaskan, usaha membanteras jenayah siber dan melindungi keselamatan pengguna tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyekat kritikan terhadap kerajaan, perbahasan dasar atau pandangan berbeza yang dilindungi Perlembagaan Persekutuan.

Dalam kenyataan media Ahli-Ahli Parlimen BN berhubung isu sekatan media, Akta Keselamatan Dalam Talian dan tadbir urus ekosistem digital Malaysia, gabungan itu menyuarakan kebimbangan terhadap trend kemerosotan kebebasan media serta amalan kawal selia kandungan dalam talian yang didakwa semakin ketat.

Menurut BN, kebimbangan itu turut melibatkan tindakan sekatan kandungan secara unilateral oleh platform digital dan dakwaan penggunaan sekatan algoritma atau shadow ban terhadap pihak yang menyuarakan pandangan kritikal.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

BN berkata, perkembangan berkenaan perlu diberikan perhatian serius kerana kebebasan media, ketelusan maklumat dan hak rakyat mendapatkan pandangan berbeza merupakan antara asas penting demokrasi.

Sebagai bukti kebimbangan itu, BN merujuk laporan Indeks Kebebasan Media Dunia 2026 oleh Reporters Without Borders (RSF) yang merekodkan penurunan kedudukan Malaysia sebanyak tujuh anak tangga daripada keseluruhan 180 negara.

Laporan sama, menurut BN, turut menunjukkan penunjuk ekonomi media siber domestik berada pada paras 40.28 mata, manakala penunjuk konteks politik mencatatkan 43 mata.

BN menyifatkan perkembangan itu sebagai isyarat bahawa ekosistem media negara memerlukan mekanisme semak dan imbang lebih menyeluruh bagi mengelakkan kebebasan akhbar serta kredibiliti media terus terjejas.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Selain itu, BN turut membangkitkan laporan ketelusan platform digital TikTok yang didakwa menunjukkan Malaysia berada dalam kelompok negara dengan jumlah permintaan penurunan kandungan yang tinggi bagi tempoh selepas 2023 hingga pertengahan 2024.

Sehubungan itu, BN berpandangan garis panduan penapisan kandungan perlu diperjelaskan supaya setiap tindakan sekatan mempunyai asas yang kukuh, telus dan selaras dengan piawaian antarabangsa.

Bagaimanapun, BN menegaskan pihaknya tidak pernah berkompromi dalam menyokong tindakan tegas MCMC dan agensi penguatkuasaan terhadap kandungan penipuan kewangan, pornografi serta perjudian haram dalam talian demi melindungi pengguna.

Namun, gabungan itu mempersoalkan skala permintaan penurunan kandungan yang dibuat oleh pihak berkuasa selepas merujuk Penyata Rasmi Dewan Rakyat bertarikh 28 Oktober 2026.

Berdasarkan rekod Hansard yang dipetik BN, sebanyak 65,680 permintaan penurunan kandungan berkaitan maklumat palsu dan memudaratkan dikemukakan bagi tempoh Januari 2023 hingga Oktober 2026, dengan 56,304 daripadanya dilaporkan berjaya diturunkan oleh platform digital.

Menurut BN, jumlah berkenaan memerlukan penelitian dan pengawasan Parlimen yang lebih mendalam bagi memastikan kuasa pentadbiran tidak digunakan secara berlebihan.

BN menegaskan perlu ada pemisahan yang jelas antara kandungan yang benar-benar melibatkan jenayah seperti penipuan dan perjudian dalam talian dengan kritikan politik, perbahasan dasar serta pandangan yang sah di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Pada masa sama, BN berpandangan tindakan penurunan kandungan tanpa melalui proses mahkamah perlu diminimumkan bagi mengelakkan kemungkinan berlakunya penyalahgunaan kuasa eksekutif.

BN turut merujuk laporan ketelusan berkala Meta yang mengesahkan sekatan terhadap beberapa kandungan atau pautan bagi mematuhi undang-undang tempatan, termasuk perkara berkaitan ketenteraman awam dan isu sensitiviti kaum, agama serta institusi diraja (3R).

Sehubungan itu, BN menegaskan sebarang tindakan penguatkuasaan tidak boleh dipengaruhi kepentingan politik kepartian, sebaliknya mesti berasaskan keselamatan negara dan undang-undang berkaitan jenayah siber.

Menyentuh pelaksanaan penuh Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) serta peruntukan pelesenan platform digital, BN mengingatkan kerajaan supaya tidak membiarkan kuasa pengawalseliaan yang luas mencetuskan suasana ketakutan dalam kalangan pengamal media dan penyedia perkhidmatan digital.

Menurutnya, liabiliti undang-undang serta ancaman denda tinggi tidak seharusnya menjadi tekanan tidak langsung kepada platform untuk menapis perbahasan awam semata-mata bagi melindungi lesen operasi dan kepentingan komersial masing-masing.

BN turut membangkitkan laporan keselamatan global Anthropic Threat Report bertarikh September 2026 yang didakwa mendedahkan operasi manipulasi maklumat siber secara tersusun menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) asing.

Operasi berkenaan dilaporkan menggunakan akaun palsu dan portal rekaan bagi membina profil pengundi Malaysia, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap ancaman manipulasi maklumat dan keselamatan proses demokrasi negara.

BN berpandangan kegagalan mengesan lebih awal operasi berskala sedemikian menunjukkan masih terdapat kelemahan dari segi keupayaan forensik digital dan kepakaran teknologi dalam kalangan agensi tempatan yang perlu segera ditangani.

Sehubungan itu, BN mengemukakan tuntutan pembaharuan terhadap tadbir urus digital negara dengan menegaskan keselamatan siber dan kebebasan demokrasi perlu bergerak seiring, bukannya saling menafikan.

Gabungan itu menegaskan tidak akan berkompromi dalam mempertahankan keselamatan digital rakyat, tetapi menolak sebarang usaha menjadikan agenda keselamatan awam sebagai alasan untuk menekan kebebasan media atau membungkam suara kritikal terhadap kerajaan.

BN turut menuntut supaya MCMC berfungsi sebagai badan pengawal selia yang berkecuali, berintegriti tinggi dan bebas daripada pengaruh politik kepartian.

Menurutnya, setiap keputusan serta tindakan penguatkuasaan perlu berasaskan prinsip ketelusan, keadilan dan akauntabiliti bagi memastikan Malaysia terus berkembang sebagai sebuah negara demokratik yang matang serta mempunyai ekosistem maklumat yang sihat.

BN menegaskan, keselamatan digital tidak boleh dibina dengan mengorbankan kebebasan bersuara, manakala kuasa penguatkuasaan pula mesti sentiasa tertakluk kepada semak dan imbang demi kepentingan rakyat.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *