BERITA UTAMA

ADUN Sungai Air Tawar mahu sumbang separuh gaji bulan depan, bantu Selangor FC

SHAH ALAM – Prihatin dengan nasib menimpa Selangor FC (SLC) yang dikenakan Liga Bolasepak Malayasia (MFL), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail sedia menyumbang separuh gaji untuk meringankan beban itu.

Beliau antara tiga wakil rakyat berbuat demikian selepas penyanyi rap terkenal merangkap ADUN Lembah Jaya, Altimet dan ADUN Kota Damansara, Izuan Kasim.

Rizam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna negeri memaklumkan, langkah itu diambil kira atas semangat solidariti bersama SFC.

“Solidariti ini bukanlah satu sandiwara politik, sebaliknya manifestasi dukungan warga Rumpun Selangor kepada pasukan Gergasi Merah kebanggaan negeri kita, walau di atas mahu pun bawah tetap setia bersama.

“Saya berharap penyokong dapat terus memberi sokongan teguh kepada SFC agar semua pemainnya bersemangat mendepani cabaran ini. Semoga Gergasi Merah akan kekal unggul dalam bola sepak Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, MFL mengenakan empat bentuk hukuman terhadap SFC susulan tindakan pasukan itu ‘tidak hadir’ pada aksi Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, 10 Mei lalu.

Hukuman yang diputuskan menerusi mesyuarat Lembaga Pengarah MFL itu termasuk denda RM100,000 yang mana wang berkenaan akan disumbangkan kepada badan kebajikan yang akan diputuskan kelak.

Badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu memaklumkan skuad Gergasi Merah turut dikenakan tiga lagi hukuman termasuk bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah, JDT dan MFL selain pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025.

Satu lagi hukuman yang dikenakan adalah perlawanan Liga Super musim ini membabitkan SFC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya juga akan dimainkan tanpa penonton. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *