KUALA LUMPUR – Dalam sebuah negara yang menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan dan kedaulatan undang-undang, setiap institusi negara perlu dihormati, termasuk institusi Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai kedudukan serta kuasa tertentu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, titah dan keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong menerusi Lembaga Pengampunan tidak seharusnya dipandang ringan, apatah lagi diperlakukan seolah tidak mempunyai sebarang kekuatan atau kesan dari sudut perlembagaan.
Beliau berkata, Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi kesalahan yang dibicarakan oleh mahkamah tentera dan kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya.
“Kuasa ini adalah sebahagian daripada kerangka perlembagaan negara yang memberikan ruang kepada pertimbangan pengampunan, pengurangan hukuman, penangguhan pelaksanaan hukuman atau peremitan hukuman.
“Dalam konteks ini, keputusan Lembaga Pengampunan bukan perkara yang boleh ditafsirkan mengikut kepentingan atau kecenderungan pihak tertentu. Sebaliknya, setiap keputusan perlu dilihat berdasarkan kedudukan undang-undang, proses perlembagaan dan syarat yang ditetapkan.
“Sekiranya sesuatu keputusan pengampunan telah dibuat dan syarat-syarat yang dikenakan telah dipenuhi, persoalan yang wajar dibangkitkan ialah mengapa pelaksanaannya masih menjadi pertikaian,” katanya dalam status Facebooknya.
Menurut Dr. Asyraf, jika pembayaran denda telah disempurnakan sebagaimana ditetapkan, apakah alasan yang membolehkan pelaksanaan keputusan berhubung tahanan dalam rumah terus ditangguhkan?
Katanya, adakah terdapat halangan perundangan yang belum diselesaikan, atau adakah timbul tafsiran berbeza terhadap kandungan dan kesan keputusan berkenaan?
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Persoalan ini perlu dijawab secara terbuka, berlandaskan peruntukan undang-undang dan prinsip keadilan. Rakyat berhak mengetahui kedudukan sebenar kerana perkara ini bukan sekadar menyentuh nasib seseorang individu, tetapi turut membabitkan keyakinan masyarakat terhadap kewibawaan institusi perlembagaan negara.
“Titah Yang di-Pertuan Agong tidak boleh diperlakukan sebagai sekadar ungkapan yang boleh diterima atau diketepikan mengikut selera pihak tertentu.
“Apabila sesuatu keputusan dibuat melalui saluran perlembagaan yang sah, semua pihak berkaitan mempunyai tanggungjawab untuk meneliti, menghormati dan melaksanakan keputusan itu menurut lunas undang-undang,” katanya.
Kata beliau, prinsip Raja Berperlembagaan bukan bermaksud segala tindakan boleh dilakukan tanpa batasan undang-undang. Namun, prinsip yang sama juga tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan atau mengosongkan makna sesuatu kuasa yang telah diberikan secara nyata oleh Perlembagaan Persekutuan.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
