KUCHING – Parti-parti politik dari Semenanjung diingatkan supaya tidak menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 sebagai medan permusuhan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS), kerana kerjasama politik antara mereka mungkin diperlukan semula bagi menjamin kestabilan kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ketua Penerangan GPS, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, parti-parti berkenaan perlu melihat persaingan politik di Sarawak dalam konteks lebih luas dan tidak hanya tertumpu kepada perebutan kerusi pada peringkat negeri.
Menurutnya, meskipun parti dari Semenanjung mempunyai hak untuk bertanding dan berkempen di Sarawak dalam kerangka demokrasi, pendekatan berkonfrontasi dengan GPS bukan pilihan terbaik kerana hubungan kerjasama politik mungkin diperlukan pada masa hadapan.
Beliau mengingatkan bahawa persaingan dalam PRN tidak seharusnya menjejaskan hubungan antara parti yang berkemungkinan perlu berganding bahu selepas PRU bagi membentuk kerajaan Persekutuan yang stabil.
“Namun, kita ingin mengingatkan semua pihak yang bertanding menentang kita supaya melihat perkara ini secara menyeluruh. Pilihan raya bukan hanya melibatkan peringkat negeri.
“Selepas ini, kita akan berdepan pilihan raya Parlimen dan mungkin memerlukan GPS untuk memastikan kestabilan kerajaan. Sebab itulah kita mempunyai Kerajaan Perpaduan pada masa ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabatnya di Bangunan Baitul Makmur II, Petra Jaya, di sini.
Dalam perkembangan sama, Abdul Karim berkata GPS yakin rekod pencapaian kerajaan negeri sejak diterajui Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 2017 menjadi kekuatan utama untuk mendapatkan mandat rakyat sekali lagi.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Katanya, pelbagai inisiatif pembangunan dan pembaharuan ekonomi telah dilaksanakan, termasuk memperkukuh kedudukan kewangan negeri, menubuhkan Dana Berdaulat Sarawak, mengambil alih Pelabuhan Bintulu serta memperluas jaringan infrastruktur menerusi pembinaan Lebuhraya Pesisir dan 22 jambatan.
Beliau berkata, semua usaha itu selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang menetapkan sasaran menjadikan Sarawak sebuah negeri berpendapatan tinggi.
“Menerusi PCDS 2030, Sarawak mempunyai visi untuk menjadi sebuah negeri berpendapatan tinggi dan jika kita melihat secara terperinci segala yang telah dilaksanakan, semuanya menjurus kepada kebaikan rakyat.
“Sebab itulah kita sering menyatakan kepada pemimpin-pemimpin Semenanjung bahawa parti-parti dari Semenanjung tidak perlulah berbuat demikian. Kita akan bekerjasama dengan anda selepas pilihan raya, apabila kita membentuk kerajaan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan GPS mahu rakyat Sarawak memberikan sokongan kepada gabungan itu bagi memastikan kesinambungan dasar dan agenda pembangunan yang sedang dilaksanakan tidak terhenti.
Menurutnya, pengundi perlu menilai prestasi kerajaan negeri berdasarkan pencapaian sebenar, keupayaan mengurus ekonomi serta pelaksanaan projek pembangunan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Abdul Karim berkata, GPS mahu mandat baharu diberikan kepada kerajaan negeri supaya segala perancangan dan usaha pembangunan yang digerakkan di bawah kepimpinan Abang Johari dapat diteruskan.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
