Tahanan rumah Najib: Rakyat keliru, siapa sebenarnya menentukan keputusan?

Dari Meja Editorial ND

ISU pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan rakyat.

Apa yang berlaku bukan sahaja mengundang kekeliruan, malah menimbulkan tanda tanya mengenai proses membuat keputusan, penyelarasan antara agensi kerajaan dan ketelusan pentadbiran dalam mengendalikan perkara sepenting pelaksanaan pengampunan diraja.

Keadaan yang berlaku seolah memperlihatkan satu episod yang sukar difahami. Pada mulanya, rakyat dimaklumkan Najib akan dibawa keluar dari Penjara Kajang untuk menjalani baki hukuman di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Namun, beberapa jam kemudian, muncul pula kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) bahawa pelaksanaan tahanan di rumah itu ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan berhubung persoalan perundangan.

Siapa yang perlu dipersalahkan dalam keadaan ini? Media? Rasanya tidak wajar media dipersalahkan semata-mata kerana melaporkan perkembangan yang berlaku.

Media menyampaikan maklumat berdasarkan pengumuman, kenyataan rasmi dan perkembangan semasa yang diterima. Jika maklumat disampaikan berubah dalam tempoh beberapa jam, media juga terpaksa melaporkan perubahan tersebut kepada masyarakat.

Bayangkan bagaimana persepsi rakyat apabila berita mengenai Najib dibawa pulang ke kediamannya mula tersebar, sebelum disusuli laporan pelaksanaan tahanan rumahnya ditangguhkan?

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Keadaan itu seolah menggambarkan sebuah kenderaan yang membawa Najib sudah memasuki pekarangan rumahnya, tetapi beberapa jam kemudian berpatah balik untuk membawanya semula ke Penjara Kajang.

Walaupun gambaran itu bukan pengesahan mengenai perjalanan sebenar kenderaan berkenaan, perubahan keputusan dalam tempoh singkat tetap menimbulkan persoalan besar.

Persoalannya, mengapa keputusan pengampunan diraja yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September lalu tidak diperjelaskan atau dipersoalkan lebih awal sekiranya terdapat kekaburan dari sudut undang-undang?

Bukankah keputusan itu sudah diketahui kerajaan, Jabatan Peguam Negara dan pihak berkuasa penjara sejak hampir tujuh minggu lalu?

Mengapa hanya selepas Najib selesai membayar denda RM50 juta pada 6 November, persoalan tafsiran terhadap Perintah Pengampunan Bersyarat tiba-tiba dibangkitkan?

Bukankah pembayaran denda itu merupakan antara syarat yang ditetapkan bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah?

Jika memang terdapat dua tafsiran berbeza terhadap perintah berkenaan, mengapa perkara itu tidak diselesaikan terlebih dahulu sebelum proses pemindahan tahanan dimulakan?

Apakah tiada penyelarasan antara Jabatan Peguam Negara, Jabatan Penjara, Kementerian Dalam Negeri dan pihak lain yang terlibat? Atau setiap agensi mempunyai pemahaman dan tafsiran tersendiri terhadap keputusan yang sama?

Lebih menghairankan, bagaimana sebuah urusan yang melibatkan bekas Perdana Menteri, titah Yang di-Pertuan Agong dan pelaksanaan perintah mahkamah boleh sampai ke peringkat sebegitu tanpa penyelesaian muktamad terlebih dahulu?

Pada 6 November, kenderaan yang membawa Najib dilaporkan keluar dari Penjara Kajang sekitar jam 2.37 petang. Beliau kemudian dilaporkan menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dijangka dibawa ke kediamannya di Jalan Langgak Duta.

Bagaimanapun, sekitar jam 7.15 malam, kenderaan yang sama dilaporkan memasuki semula kawasan Penjara Kajang selepas AGC mengumumkan penangguhan sementara pelaksanaan tahanan rumah.

AGC memberikan alasan terdapat dua kemungkinan tafsiran terhadap Perintah Pengampunan Bersyarat, khususnya mengenai kesan pembayaran denda RM50 juta terhadap baki hukuman penjara dalam kes SRC International.

Tafsiran pertama ialah pembayaran denda hanya menyelesaikan komponen hukuman denda, manakala hukuman penjara masih berjalan sehingga 23 Ogos 2028. Dalam keadaan itu, tahanan di rumah adalah kaedah alternatif untuk menjalani baki hukuman.

Tafsiran kedua pula ialah pembayaran denda tersebut membolehkan pengampunan berkuat kuasa sepenuhnya sehingga keseluruhan hukuman dalam kes SRC International, termasuk hukuman penjara dianggap selesai.

AGC turut membangkitkan kesan kedua-dua tafsiran itu terhadap pelaksanaan hukuman penjara Najib dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang menurut perintah mahkamah perlu bermula selepas hukuman dalam kes SRC International selesai.

Inilah persoalan perundangan yang sepatutnya diteliti dan diselesaikan sebelum sebarang proses pemindahan dilakukan. Bukan selepas urusan pembayaran selesai dan bekas Perdana Menteri itu sudah dibawa keluar dari penjara.

Lebih menarik perhatian, pada hari sama, Menteri Dalam Negeri turut mengisytiharkan kediaman Najib di Jalan Langgak Duta sebagai sebuah penjara di bawah Seksyen 3 Akta Penjara 1995. Perisytiharan itu disiarkan dalam Warta Kerajaan Persekutuan.

Perkembangan tersebut menambahkan lagi persoalan mengenai tahap persediaan dan penyelarasan pihak berkuasa dalam melaksanakan keputusan berkenaan.

Dalam pada itu, peguam Najib, Shafee & Co., menolak tindakan AGC menangguhkan pelaksanaan tahanan rumah tersebut. Mereka berhujah semua syarat pengampunan telah dipenuhi dan AGC tidak mempunyai kuasa untuk menangguhkan titah diraja melalui kenyataan media.

Sebaliknya, pasukan pembelaan berpendirian sekiranya terdapat persoalan mengenai perintah mahkamah, AGC sepatutnya membawa perkara itu ke Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan penjelasan atau keputusan sewajarnya.

Kita tidak perlu membuat kesimpulan terburu-buru mengenai siapa betul atau siapa salah dalam pertikaian ini. Perkara itu perlu ditentukan berdasarkan undang-undang, dokumen rasmi dan keputusan mahkamah.

Namun, satu perkara tidak boleh diketepikan ialah hak rakyat untuk mendapatkan penjelasan.

Rakyat berhak mengetahui mengapa keputusan yang sudah diumumkan sejak September lalu hanya menimbulkan persoalan perundangan pada saat pelaksanaannya hendak dilakukan.

Rakyat juga berhak mengetahui siapa bertanggungjawab menyelaraskan proses berkenaan dan mengapa isu begitu besar tidak diselesaikan lebih awal.

Jangan sampai rakyat membuat pelbagai andaian sendiri, termasuk kemungkinan wujudnya arahan tertentu di luar proses yang diketahui umum. Jika ada keputusan rasmi, kemukakan asasnya. Jika ada masalah perundangan, jelaskan kepada masyarakat.

Kerajaan tidak boleh membiarkan urusan sepenting ini kelihatan seperti keputusan dibuat pada saat akhir, kemudian berubah beberapa jam kemudian tanpa penjelasan benar-benar meyakinkan.

Dalam sebuah negara yang menjunjung Keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, keputusan institusi negara tidak sepatutnya dilihat berubah-ubah mengikut keadaan atau masa.

Titah Yang di-Pertuan Agong perlu dihormati. Perintah mahkamah perlu dilaksanakan mengikut undang-undang. Pada masa sama, setiap persoalan perundangan mesti diselesaikan melalui saluran betul.

Apa rakyat mahu bukanlah layanan istimewa kepada mana-mana individu, termasuk bekas Perdana Menteri. Mereka hanya mahu sebuah pentadbiran yang teratur, telus, konsisten dan tidak menimbulkan kekeliruan.

Akhirnya, persoalan yang belum terjawab ialah: Jika keputusan itu sudah dibuat pada September, mengapa pada November negara masih tercari-cari cara untuk melaksanakannya?

Lebih penting, siapa sebenarnya bertanggungjawab memastikan keputusan sebesar ini tidak bertukar menjadi satu episod yang membingungkan seluruh negara? – ND

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *