WELLINGTON – Hakim mahkamah di New Zealand pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara selama 18 tahun ke atas seorang wanita kerana membunuh tiga anak perempuannya pada 2021.
Tertuduh, Lauren Dickason akan memulakan hukumannya di sebuah hospital kesihatan mental dalam tahanan di negeri itu, kata pegawai mahkamah di Mahkamah Tinggi Christchurch kepada AFP.
Dalam satu kenyataan kepada media tempatan selepas hukumannya, Dickason, berkata dia ‘gagal’ ke atas anak-anak dan suaminya yang sejak kejadian itu berpindah kembali ke Afrika Selatan.
“Saya bertanggungjawab mengambil nyawa tiga gadis cantik kami dari dunia ini.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan rasa kesal yang paling mendalam dan kesakitan yang melampau kepada anak-anak serta keluarga dengan tindakan saya itu,” katanya.
Hakim Cameron Mander tidak mengenakan tempoh minimum tanpa parol ketika menjatuhkan hukuman terhadap Dickason, yang terlepas hukuman penjara seumur hidup yang juga hukuman biasa bagi kes pembunuhan di New Zealand.
Dickason didapati bersalah pada Ogos lalu atas tiga tuduhan membunuh anak kembarnya, Maya dan Karla berusia dua tahun serta anak sulung, Liane berusia enam tahun.
Pembunuhan berlaku pada September 2021 di rumah tertuduh di Timaru ketika suaminya keluar untuk makan malam bersama rakan sekerja.
Suami tertuduh menemui mayat anaknya ketika pulang ke rumah.
Keluarga berkenaan berpindah ke New Zealand dari Afrika Selatan beberapa minggu sebelum kejadian itu berlaku.
Di bawah undang-undang New Zealand, pembunuhan bayi adalah pembelaan bagi seorang ibu yang menyebabkan kematian anaknya apabila ‘pada masa kesalahan itu, keseimbangan fikirannya terganggu’.
Peguam Dickason berhujah bahawa unit kesihatan mental adalah tempat yang paling sesuai untuknya, menurut laporan media tempatan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252