BERITA UTAMA
Wanita warga emas ditemui maut dalam rumah disyaki dibunuh

Wanita warga emas ditemui maut dalam rumah disyaki dibunuh

IPOH – Seorang wanita warga emas yang ditemukan maut di ruang tamu rumahnya di kawasan Taman Mujur dekat Bercham di sini, kelmarin dipercayai dibunuh.

Berikutan itu, kes yang awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kata Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad.

Beliau berkata, hasil bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada jam 9.15 pagi semalam, mendapati punca kematian adalah kecederaan di kepala dan tengkuk disebabkan trauma objek tumpul.

Justeru, katanya, siasatan kes itu diklasifikasikan semula atas kesalahan membunuh dengan niat.

Sebelum ini, media melaporkan polis telah menahan reman seorang lelaki, dipercayai anak mangsa berusia 36 tahun bagi membantu siasatan.

“Suspek direman selama tiga hari sehingga hari ini, 14 Jun dan semakan rekod mendapati suspek mempunyai 11 rekod kesalahan lampau berkaitan pelbagai jenayah dan lapan rekod kes dadah.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Fadli Ahmad di talian 019-250 0019 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *