Kompaun penipuan di Kemboja dedah bukti penyelewengan – Tentera Thailand

KEMBOJA – Tentera Thailand pada Isnin memaklumkan pihaknya merampas sejumlah besar bukti penipuan rentas sempadan daripada sebuah kompaun scammer di Kemboja yang disita.

Ia susulan pertempuran antara kedua-dua negara di sepanjang sempadan yang dipertikaikan tahun lalu.

Dalam taklimat kepada pemberita dan delegasi asing di wilayah Surin, pegawai kanan tentera Thailand berkata kompleks O’Smach menempatkan ribuan individu, kebanyakannya mangsa pemerdagangan manusia yang dipaksa menipu orang ramai atau berdepan hukuman.

Askar kemudian membawa pemberita meninjau satu daripada beberapa bangunan dalam kompleks itu yang dibom dan diduduki tentera Thailand lewat tahun lalu.

Bangunan enam tingkat berkenaan dipenuhi dokumen, termasuk senarai panjang individu yang dipercayai sasaran berpotensi berserta maklumat hubungan mereka, selain skrip dialog penipuan.

O’Smach sebelum ini dikenal pasti sebagai pangkalan operasi penipuan, termasuk oleh Amerika Syarikat (AS) , yang memetik kes pemerdagangan manusia dan jenayah paksaan.

“Tujuan kami menunjukkan lokasi ini hari ini adalah untuk membolehkan dunia melihat bagaimana ia digunakan sebagai pangkalan jenayah terhadap kemanusiaan,” kata Ketua Pengarah Direktorat Perisikan Tentera Darat Diraja Thailand, Leftenan Jeneral Teeranan Nandhakwang, kepada pemberita.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Kemboja, Touch Sokhak, memberitahu Reuters Thailand menggunakan pusat penipuan sebagai alasan untuk melancarkan serangan ketenteraan.

Beliau berkata Kemboja sedang melaksanakan tindakan keras terhadap kegiatan penipuan dan berikrar untuk membanteras sepenuhnya industri haram itu sebelum April.

Thailand dan Kemboja menamatkan pertempuran sengit selama beberapa minggu pada akhir Disember menerusi gencatan senjata — yang kedua dalam tempoh beberapa bulan — sekali gus menghentikan pertempuran terburuk antara dua negara jiran Asia Tenggara itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sepanjang pertempuran berkenaan, tentera Thailand menyerang beberapa kompleks kasino yang didakwa digunakan sebagai kompaun penipuan, dengan mendakwa lokasi itu turut dijadikan tempat penyimpanan senjata dan pelancaran serangan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *