RIYADH – Kekecewaan terhadap jendela perpindahan Al-Nassr yang sepi mendorong Cristiano Ronaldo tidak menyertai aksi kemenangan 1-0 kelab itu ke atas Al-Riyadh semalam, lapor beberapa media.
Penyerang sensasi Portugal itu memilih menarik diri daripada skuad kendalian ketua jurulatih, Jorge Jesus kerana Al-Nassr, pasukan tangga kedua Liga Pro Saudi, gagal membuat tambahan besar sebelum jendela perpindahan ditutup.
Al-Nassr meraih kemenangan liga kelima berturut-turut untuk merapatkan jurang kepada satu mata di belakang seteru utama Al-Hilal, yang dilaporkan hampir melengkapkan perpindahan penyerang legenda, Karim Benzema, bekas rakan sepasukan Ronaldo di Real Madrid.
Ronaldo tidak mengalami kecederaan, sakit atau digugurkan oleh Jesus, menurut laporan ESPN.
Dia juga tidak bercadang meninggalkan Al-Nassr, yang menandatanganinya dengan lanjutan kontrak lumayan selama dua tahun pada Jun 2025.
Menurut CBS Sports, pegawai kanan kelab memahami rasa tidak puas hati Ronaldo terhadap Dana Pelaburan Awam (PIF), dana kekayaan berdaulat Arab Saudi yang memiliki Al-Nassr, Al-Hilal serta dua lagi kelab Liga Pro.
Ronaldo, yang akan menyambut hari lahir ke-41 Khamis ini, sudah menjaringkan 91 gol dalam 95 perlawanan liga bersama Al-Nassr sejak tiba di Riyadh, ibu negara Arab Saudi pada 2023.
Dia kekal sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman bola sepak dengan 961 gol bersama kelab dan negara. – REUTERS
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L