Integriti Akademi, Adab Ilmu dan Masa Depan Peradaban Kita

Oleh: Malaysian Corruption Watch (MCW)

ISU yang melibatkan seorang Profesor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) baru-baru ini, mengenai hipotesis hubungan Austronesian–Romawi telah menimbulkan perdebatan nasional.

Namun, fokus sebenar negara ini bukan semata-mata mengenai benar atau tidaknya sesuatu hipotesis, tetapi bagaimana masyarakat kita bertindak balas terhadap idea ilmiah.

Menurut Presiden My Watch Corruption, Jais Abdul Karim, budaya ilmu yang sihat tidak akan tumbuh dalam masyarakat yang cepat mengejek, tetapi lambat membaca.

Kini, katanya, budaya perbincangan akademik sering dipesongkan oleh “hero media sosial”, yang memotong klip ceramah tanpa konteks, menyiarkannya untuk sensasi, lalu membentuk persepsi tanpa hujah.

“Akhirnya, bukan idea yang dibincangkan, tetapi reputasi individu yang dijatuhkan. Sikap beginilah yang menghancurkan budaya ilmu.

“Dalam dunia akademik, hipotesis adalah asas kemajuan ilmu. Hipotesis ialah permulaan ilmu. Bukti ialah penyempurna ilmu, debat ialah penyaring ilmu, dan tanpa hipotesis, tiada ruang penemuan baharu.

“Prof. Solehah tidak salah kerana mengemukakan hipotesis, kerana itu sebahagian daripada tradisi ilmiah. Jika tidak setuju, bantahlah dengan kaedah ilmu: nafikan dengan bukti, bukan dengan ejekan,” katanya.

Namun, kata Jais, sewajarnya setiap hipotesis yang dibentangkan di ruang awam turut disertakan dengan rujukan, manuskrip, jurnal dan bukti sokongan supaya masyarakat tidak dibiarkan membuat spekulasi tanpa teks.

Ujar beliau, kedua-dua pihak mempunyai ruang pembaikan. Masyarakat perlu matang, ilmuwan perlu berhati-hati dalam penyampaian awam. Itulah budaya ilmu yang matang.

“Para ilmuwan sering menegaskan, setiap ilmu mesti berteraskan adab dan adab lahir daripada keimanan, tidak kira agama apa pun, inilah teras integriti manusia dan negara.

“Adab bukan sekadar sopan santun. Adab bermaksud mengkritik idea, bukan menghina personaliti, menilai fakta, bukan memburu sensasi, mendahulukan bukti, bukan emosi.

“Kita boleh tidak bersetuju. Itu normal, tetapi ketidaksepakatan bukan lesen untuk memalukan, dan adab ini tidak boleh ditanam tiba-tiba ketika usia dewasa. Ia mesti dipupuk sejak di bangku sekolah,” katanya.

Jelas Jais, negara maju seperti Jepun, Korea dan Eropah Utara membina budaya intelektual yang tinggi kerana mendidik adab berfikir sejak anak berusia enam atau tujuh tahun. Malaysia juga perlu melangkah ke arah itu.

Menurutnya, ramai menyangka integriti negara hanya bermula apabila seseorang memasuki dunia kerja kerajaan atau korporat. Hakikatnya, integriti bermula jauh lebih awal iaitu daripada cara kita berfikir dan menilai realiti.

“Rasuah minda berlaku apabila kita menolak bukti kerana tidak sehaluan dengan emosi, menghukum sebelum menilai, mempercayai berita viral lebih daripada teks akademik.

“Apabila akal budi sudah korup, maka korupsi wang dan kuasa menjadi mudah. Inilah sebab MCW menegaskan, pembinaan negara bersih bermula daripada budaya fikir yang bersih.

“Media sosial kini menjadi pentas utama maklumat, tetapi juga punca utama salah faham. Ia lebih gemar mempromosi tawa daripada menyebarkan ilmu,” katanya.

Ceramah asal Profesor berkenaan tidak disiarkan sepenuhnya, hanya potongan yang diviralkan. Lalu orang ramai menyerang universiti dan individu, sebelum menunggu penjelasan rasmi.

Masyarakat berilmu akan bertanya, “Apakah rujukannya?”, “Sumber sejarah mana digunakan?”, “Apakah metod penyelidikannya?”

Tetapi, masyarakat yang tidak matang akan bertanya: “Siapa yang boleh kita gelakkan hari ini?”

Sebagai langkah pembaharuan nasional, MCW mencadangkan pelaksanaan Kod Etika Perbincangan Ilmiah Malaysia, berasaskan lima prinsip utama iaitu kritik idea, bukan personaliti; hujah dengan data, bukan emosi; dengar habis sebelum menilai; dan semua teori mesti boleh diuji.

Kod ini bukan teori semata-mata, sebaliknya ia adalah asas survival budaya ilmu negara.

Polemik yang berlaku telah membuka satu hakikat besar, iaitu masyarakat kita semakin hilang adab ilmu dan negara yang kehilangan adab ilmu tidak akan mampu menegakkan integriti nasional.

Jika kita mahu Malaysia bebas rasuah, maka asasnya bukan sekadar undang-undang, tetapi pembinaan budaya ilmu yang jujur, berfakta dan beradab tinggi.

Kerana integriti sebenar tidak bermula dari hukuman, tetapi dari cara kita berfikir.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *