Tony Pua Ditegur, ‘Bagai Kaduk Naik Junjung’ Jadi Sindiran Pedas Tentang Isu Institusi Raja

Oleh Fatin Sajidah Fathuldin

KUALA LUMPUR — Kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tony Pua berhubung had kuasa institusi diraja dalam sistem Raja Berperlembagaan mencetuskan kecaman apabila disifatkan menyentuh sensitiviti institusi Raja-Raja Melayu menerusi hantaran di Facebook

Menurut beliau,  Malaysia berteraskan demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan seperti adat Melayu, Islam serta fungsi perlembagaan termasuk pelantikan Menteri Besar dan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tony Pua turut menegaskan bahawa undang-undang negara digubal melalui Parlimen dan DUN oleh wakil rakyat yang dipilih rakyat, bukannya melalui “titah atau dekri” yang mengikat semua aspek kehidupan rakyat.

Setiausaha Agung United Malays National Organisation, Asyraf Wajdi Dusuki menyelar kenyataan tersebut dan menyifatkannya sebagai biadab terhadap institusi diraja.

Menurut beliau, tindakan mempertikaikan titah Sultan bukan soal kebebasan bersuara, sebaliknya menunjukkan kegagalan memahami batas adab terhadap institusi Raja-Raja Melayu.

“Konon celik Perlembagaan, tetapi dangkal adab terhadap institusi Raja. Bila titah Sultan dipersenda, itu bukan kebebasan bersuara, itu biadab. Tony Pua ini bagai kaduk naik junjung, lupa adab dan batas.” katanya menerusi Facebook.

Walaupun kenyataan itu dikemukakan atas hujah Perlembagaan dan prinsip Rukun Negara, ia pantas mengundang reaksi keras pelbagai pihak yang melihat nada serta waktunya sebagai tidak wajar, lebih-lebih lagi selepas titah Sultan Selangor mengenai kepentingan memahami Rukun Negara dan Perlembagaan.

Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat, Saifuddin Shafi Muhammad pula mengingatkan semua pihak agar lebih berhati-hati ketika mengulas isu melibatkan institusi diraja kerana ia mudah mencetuskan salah tafsir dan ketegangan politik.

“Tiada siapa menafikan Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan Perlembagaan Persekutuan menjadi tunjang pentadbiran negara

“Namun sebagai ahli politik berpengalaman, Tony Pua sepatutnya memahami isu melibatkan institusi diraja perlu ditangani penuh hemah dan kebijaksanaan, bukannya melalui kenyataan yang akhirnya menimbulkan persepsi seolah-olah wujud pertentangan dengan institusi Raja,” katanya hari ini kepada MalaysiaGazette

Kontroversi itu kini hangat diperkatakan di media sosial dengan pelbagai pihak tampil mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu serta menggesa semua pemimpin politik lebih berhati-hati ketika menyentuh isu berkaitan 3R iaitu raja, agama dan kaum.

Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *