Dari Meja Editorial
POLITIK Malaysia sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 menyaksikan satu realiti yang tidak pernah benar-benar stabil, walaupun sering dihias dengan slogan indah seperti “Kerajaan Perpaduan” dan “Malaysia Madani”.
Hakikatnya, gabungan antara UMNO/BN dan Pakatan Harapan (PH) bukan lahir daripada keserasian ideologi, bukan juga kerana perjuangan bersama sejak sekian lama, tetapi lebih kepada jalan terakhir untuk mencukupkan angka bagi membentuk kerajaan.
Itulah hakikat yang ramai cuba sembunyikan.
Selepas PRU15, tidak ada mana-mana gabungan yang memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. Rakyat memberi mandat tergantung. Dalam keadaan negara berdepan ketidaktentuan politik, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika itu mengambil langkah menyeru parti-parti politik mencari titik persamaan demi kestabilan negara.
Namun, sejarah juga mencatat bahawa PAS dan Bersatu memilih untuk tidak bersama cadangan tersebut dan rela menjadi pembangkang. Maka, ruang itu akhirnya diisi oleh BN di bawah kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang membuat keputusan menyertai PH demi memastikan kerajaan dapat dibentuk.
Dari situlah lahirnya apa yang dinamakan “Kerajaan Perpaduan”. Tetapi, persoalannya adakah UMNO/BN benar-benar menjadi sebahagian daripada PH?
Jawapannya, tidak.
UMNO dan BN tidak pernah menjadi komponen PH sebagaimana DAP, PKR dan Amanah yang sememangnya lahir dari acuan politik yang sama sejak bertahun-tahun.
Hubungan UMNO/BN dengan PH hanyalah hubungan politik sementara atas dasar keperluan angka di Parlimen. Mereka berkongsi pentadbiran, tetapi tidak pernah bercantum jiwa perjuangan.
Ini bukan rahsia. Ini realiti politik.
Malah, ramai penyokong akar umbi UMNO sendiri masih sukar menerima hakikat parti itu duduk semeja dengan DAP, parti yang sekian lama dijadikan musuh politik utama dalam ceramah dan kempen pilihan raya.
Begitu juga sebahagian penyokong PH yang masih memandang UMNO sebagai simbol politik lama yang pernah mereka tentang habis-habisan.
Jadi, apabila ada pihak dalam PH mula menunjukkan reaksi tidak senang terhadap kemungkinan UMNO/BN bertanding solo pada PRU16, ia menimbulkan persoalan besar – sejak bila hubungan sementara ini berubah menjadi “akad politik” yang mengikat selama-lamanya?
UMNO tidak pernah menandatangani sijil untuk menjadi komponen tetap PH. UMNO masuk ke dalam kerajaan perpaduan pun bagi menyelamatkan kestabilan negara selepas pilihan raya tergantung. Itu sahaja. Bukan untuk menyerahkan seluruh hala tuju politik parti kepada PH. Bukan juga untuk menghapuskan identiti BN demi memuaskan strategi politik pihak lain.
Kalau hari ini UMNO merasakan mereka perlu kembali bertanding atas kekuatan sendiri, itu hak politik mereka sebagai sebuah parti yang masih mempunyai struktur dan penyokong tersendiri. Dalam demokrasi, setiap parti berhak menentukan haluan sendiri tanpa dipaksa tunduk kepada kehendak rakan sementara.
Yang peliknya, apabila UMNO bercakap soal bertanding solo, ada yang terus melatah seolah kerajaan akan runtuh esok pagi. Sedangkan dari awal lagi, hubungan ini bersifat sementara dan pragmatik.
Lebih sinis lagi apabila ada pihak cuba memberi gambaran bahawa UMNO wajib terus bersama PH atas nama “moral politik” atau “kesetiaan gabungan”. Sedangkan ketika BN lemah selepas PRU15, merekalah yang paling lantang mendesak UMNO menerima realiti politik baharu.
Kini, apabila UMNO mahu mengatur langkah sendiri, tiba-tiba ia dianggap tidak setia. Bukankah itu namanya hipokrasi politik?
Realitinya mudah. Kerajaan perpaduan dibentuk untuk mentadbir negara dalam situasi tiada majoriti jelas. Ia bukan sijil perkahwinan politik kekal. Ia lebih mirip kepada gencatan senjata sementara antara musuh politik demi mengelakkan negara terus terjerumus dalam krisis.
Sebab itu rakyat tidak seharusnya terlalu naif melihat hubungan ini sebagai gabungan yang penuh kasih sayang dan persefahaman mutlak. Dalam politik, kawan hari ini boleh menjadi lawan esok. Dan lawan semalam boleh duduk semeja hari ini jika keadaan memerlukan.
Apa yang lebih penting ialah semua pihak perlu matang menerima hakikat setiap parti mempunyai survival politik masing-masing. UMNO ada sebab untuk mempertahankan identiti BN.
PH pula ada agenda politik sendiri. Tidak wajar mana-mana pihak cuba mendominasi atau memaksa pihak lain mengikut telunjuk mereka semata-mata kerana berkongsi kerajaan.
Kalau hubungan itu benar-benar ikhlas dan stabil, tidak perlu ada paksaan. Dan, kalau sebuah gabungan hanya mampu bertahan dengan tekanan serta ugutan politik, itu bermaksud hubungan tersebut sememangnya rapuh sejak awal.
PRU16 nanti bakal menjadi medan sebenar untuk menguji sejauh mana “perpaduan” ini benar-benar wujud, atau sekadar persefahaman sementara yang dibina atas keperluan kuasa. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L