Oleh: Siti Khadijah Manudin
KUALA LUMPUR — Satu hantaran media sosial yang menekankan prinsip keluhuran Perlembagaan tular susulan polemik melibatkan pemimpin DAP Tony Pua, yang didakwa oleh beberapa pihak mengeluarkan kenyataan menyentuh institusi diraja, khususnya Sultan Selangor.
Hantaran berkenaan dimuat naik oleh Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker, menerusi akaun Facebook beliau, dengan menjelaskan bahawa dalam sistem perundangan Malaysia, Perlembagaan Persekutuan kekal sebagai undang-undang tertinggi negara sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 4(1).
Menurut beliau, Rukun Negara merupakan falsafah kebangsaan dan panduan ideologi negara, namun tidak mempunyai kedudukan lebih tinggi daripada Perlembagaan serta tidak mengatasi mana-mana peruntukan perlembagaan.
“Hirarki secara umum ialah Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi, diikuti undang-undang yang digubal Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, manakala dasar, konvensyen, deklarasi serta falsafah kebangsaan termasuk Rukun Negara berada sebagai panduan nasional,” menurut hantaran itu.
Ti Lian Ker turut menyatakan prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan seharusnya saling melengkapi, bukan bersaing, dengan beberapa prinsip Rukun Negara seperti Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang mencerminkan asas perlembagaan negara.
Beliau berkata dalam konteks Raja Berperlembagaan, Sultan atau Yang di-Pertuan Agong menjalankan fungsi berdasarkan had kuasa serta konvensyen yang termaktub dalam Perlembagaan.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi daripada Tony Pua berhubung dakwaan menghina Sultan Selangor dapat disahkan melalui hantaran berkenaan, manakala perbahasan di media sosial lebih tertumpu kepada isu tafsiran perundangan dan peranan institusi diraja dalam kerangka demokrasi berperlembagaan negara.
Pemerhati politik berpendapat isu tersebut sekali lagi memperlihatkan sensitiviti masyarakat terhadap sebarang kenyataan melibatkan Raja-Raja Melayu, khususnya apabila dibangkitkan dalam konteks perbahasan politik semasa.
Siti Khadijah Manudin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L