Bekas Eksekutif Bank Genggam Kejayaan Melalui Perniagaan Nasi Berlauk Ciktin

KLANG – Keputusan berani seorang ibu muda untuk meninggalkan kerjaya bergaji empat angka sebagai eksekutif bank di ibu kota empat tahun lalu, kini terbukti langkah paling tepat dalam hidupnya.

Fatin Farah Ismail, 32, yang sebelum ini bekerja di sektor perbankan di Kuala Lumpur, memilih untuk meninggalkan keselesaan pejabat berhawa dingin demi menceburi bidang perniagaan makanan, menjual nasi berlauk Pantai Timur di bawah jenama Nasi Berlauk Ciktin.

Kini, jenama yang diasaskannya itu bukan sahaja semakin dikenali, malah menjadi sebutan penduduk sekitar Sijangkang, Telok Panglima Garang dan Klang, Selangor.

“Saya tidak pernah menyesal dengan keputusan untuk berhenti kerja bank. Saya lebih selesa berniaga nasi berlauk kerana dapat urus masa sendiri dan tumpu kepada keluarga,” katanya ketika ditemui di gerainya baru-baru ini.

Menurut Fatin, beliau menerima sokongan penuh daripada suaminya, Ahmad Aqil Akhtar Rokaid, 32, yang turut mengambil keputusan meninggalkan kerjaya lamanya dalam bidang perkapalan di Pelabuhan Klang.

“Suami saya kini menjadi pengurus gudang bagi perniagaan membekal pakaian terpakai (bundle) milik kakak dan abang ipar. Kami saling menyokong antara satu sama lain dalam bidang masing-masing,” katanya lagi.

Fatin menjelaskan, perniagaan nasi berlauk yang diusahakannya itu diinspirasikan daripada keenakan masakan tradisional Kelantan, dengan pelbagai lauk seperti gulai ikan tongkol, ayam goreng berempah dan sambal belacan yang menjadi kegemaran pelanggan tetapnya.

Beliau turut mengakui, walaupun berniaga di bawah khemah, bukannya di restoran berhawa dingin, hasil jualan hariannya kini jauh lebih lumayan berbanding pendapatan semasa bekerja di bank dahulu.

“Kalau dulu saya keluar rumah seawal pagi dan pulang lewat malam kerana komitmen kerja di bank, kini saya lebih bebas mengatur masa. Pendapatan pun lebih stabil dan saya dapat lihat sendiri perkembangan anak-anak setiap hari,” katanya tersenyum.

Selain menjual secara harian, Fatin juga kini aktif menerima tempahan katering bagi pelbagai majlis seperti kenduri kahwin, pertunangan, cukur jambul, program korporat, majlis keluarga dan ‘family day’.

Dengan semangat keusahawanan yang tinggi dan sokongan keluarga, Fatin Farah berazam untuk mengembangkan lagi jenama Nasi Berlauk Ciktin ke beberapa lokasi lain di Selangor dalam tempoh terdekat.

“Saya percaya rezeki datang daripada kesungguhan dan keberanian untuk mencuba. Dulu saya hanya pekerja makan gaji, tapi kini saya jadi bos untuk diri sendiri,” katanya mengakhiri perbualan dengan senyuman puas.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *