Bicara dan Bertanding Boria 2025 Meriahkan Warisan Seni Pulau Pinang

SHAH ALAM – Tradisi seni warisan Boria terus mekar apabila Bicara dan Bertanding Boria 2025 anjuran Pertubuhan Pembangunan Ehsan dan Multimedia (PPEM) berlangsung penuh meriah di Prangin Mall, Pulau Pinang.

Pertandingan ini menyaksikan penyertaan hebat daripada pelajar, penggiat seni dan peminat budaya setempat.

Program yang mendapat sokongan rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Geran Sokongan Sektor Kebudayaan 2025 (GSSK 2025) serta Penang State Exco for Tourism and Creative Economy (PETACE) ini, bertujuan memperkukuh semangat kecintaan terhadap warisan budaya tradisional negeri Pulau Pinang.

Acara dimulakan dengan sesi Bicara Boria yang berlangsung pada 4 November lalu di Studio Shuq Dancers, Sungai Ara, Pulau Pinang.

Sesi bual bicara ini menampilkan dua panel berpengaruh dalam dunia Boria, iaitu Omar Md. Hashim (Omara) selaku penerima pengiktirafan Warisan Kebangsaan Orang Hidup (WAKOH) dan Shukor Osman, jurulatih tari, penyedia busana serta Pegawai Majlis Kebudayaan Negeri Pulau Pinang dan moderator bagi sesi ini ialah Nazreen Md Noor.

Perbincangan menyentuh sejarah panjang boria sebagai seni rakyat, peranannya dalam membentuk identiti komuniti Melayu Pulau Pinang serta cabaran semasa dalam mengekalkan minat generasi muda terhadap warisan tersebut.

Acara kemuncak pertandingan ini pada 8 November lalu, yang menyaksikan 10 kumpulan bertanding dalam dua kategori iaitu sekolah rendah, sekolah menengah dan terbuka.

Pertandingan ini dikendalikan oleh pengacara berpengalaman, Acan Boria dan Zam Kiut, manakala barisan juri ialah Rosely Abdullah @ Chik Pak Man Telo, Zulkipli Omar dan Edy Zalmi Nadzeri.

Juara bagi kategori Sekolah Rendah ialah Ritma Tari Permai (SK Seri Permai) yang membawa pulang wang tunai RM2,000, sijil dan piala; manakala naib juara, One Team One Dream dari SK Jalan Baru (RM1,500 + Sijil & Piala); ketiga, Boria Anak Mami dari SK Batu Kawan (RM1,000 + Sijil & Piala); keempat, SK Sri Aman (RM500 + .Sijil & Piala); dan kelima, Boria Sejawi dari SK Jawi (RM500 + Sijil & Piala).

Ritma Tari Permai dari SK Seri Permai membolot tiga hadiah istimewa yang disediakan penganjur ialah Busana Terbaik (RM300, Sijil & Piala), Tukang Karang Terbaik (RM150 + Sijil & Piala) serta Sketsa Terbaik (RM300 + Sijil & Piala).

Juara bagi kategori Sekolah Menengah dan Terbuka ialah Boria Warisan Gemilang dari SMK Gemilang, yang mendapat hadiah wang tunai RM2,000 + Sijil & Piala; diikuti naib juara, Boria Arab Parsi (RM1,500 + Sijil & Piala); ketiga, Putera Wawasan dari SMK Permatang Tok Jaya (RM1,000 + Sijil & Piala); keempat Boria Madnorians dari SMK Datuk Hj. Mohamed Nor Ahmad (RM500 + Sijil & Piala) dan kelima, Pewaris Mutiara (RM500 + Sijil & Piala).

Busana Terbaik dimenangi pasukan Boria Arab Parsi yang membawa pulang wang tunai RM300 + Sijil & Piala; manakala Tukang Karang Terbaik dimenangi pasukan Boria Warisan Gemilang (RM150 + Sijil & Piala); dan Sketsa Terbaik oleh pasukan Boria Madnorians dari SMK Datuk Hj. Mohamed Nor Ahmad (RM300 + Sijil & Piala).

Acara ini turut mendapat dokongan padu daripada Prangin Mall, Pulau Pinang sebagai rakan strategik lokasi serta sokongan penaja yang terdiri daripada LE Embassy Hotel, Nasi Kandar Beratur Original, Deen Mutiara Hutton Lane, Nasi Kandar Sirajudeen, Nasi Kandar Mutiara Vista, Nasi Kandar Ikram, Restoran Alameen Maju, Nasi Kandar Astana, Nasi Kandar Siti Aisyah dan VIDA World Sdn. Bhd.

Walaupun Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai tidak dapat hadir seperti dijadualkan, beliau tetap menyampaikan sokongan terhadap usaha memartabatkan warisan seni tempatan ini.

Sementara itu, menurut Pengarah Program Bicara dan Bertanding Boria 2025, Razali Hussain, penganjuran acara itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan memupuk semangat cintakan warisan serta memperkukuh peranan boria dalam membina jati diri bangsa.

“Boria bukan sekadar hiburan, tetapi satu cerminan nilai, semangat dan identiti masyarakat Pulau Pinang. Kami berharap generasi muda akan terus menyambung perjuangan ini agar boria kekal sebagai warisan kebanggaan negara,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program ini.

Kata beliau, program itu sekali lagi membuktikan seni tradisi tidak pernah pudar nilainya, malah dengan sokongan pelbagai pihak dan semangat aktivis budaya, boria diyakini akan terus berdiri megah sebagai lambang keunikan seni warisan Pulau Pinang. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *