Netizen Dakwa Tony Pua Sudah ‘Naik Junjung’

Oleh NurFarhana Zulkeply

KUALA LUMPUR – Kenyataan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, berhubung konsep Raja Berperlembagaan dan Rukun Negara mencetuskan polemik apabila didakwa menyentuh sensitiviti institusi diraja serta isu 3R melibatkan agama, kaum dan raja.

Menerusi satu hantaran penganalisis politik di media sosial Thread, kenyataan pemimpin DAP itu disifatkan sebagai agak keras dan boleh ditafsirkan sebagai memperlekeh kewibawaan institusi Raja-Raja Melayu.

Menurut penganalisis berkenaan, Tony Pua wajar disiasat mengikut lunas undang-undang sekiranya terdapat unsur penghinaan terhadap institusi diraja.

“Dalam negara Raja Berperlembagaan, setiap rakyat memang berhak membincangkan soal Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

“Namun kebebasan bersuara juga datang bersama tanggungjawab menjaga adab terhadap institusi Raja-Raja Melayu,” katanya.

Beliau berkata, teguran DYMM Sultan Selangor sebelum ini dibuat dalam konteks memelihara keharmonian masyarakat, adab politik dan semangat Rukun Negara.

Katanya lagi, penggunaan frasa “Not decrees” dalam kenyataan Tony Pua boleh menimbulkan persepsi bahawa beliau mempertikaikan kewibawaan institusi diraja.

“Tak manis bila kenyataan balas dibuat dengan nada yang boleh ditafsir sebagai memperlekeh atau menyindir titah Sultan, apatah lagi menggunakan frasa yang mudah difahami sebagai mempertikaikan institusi diraja,” katanya.

Hantaran tersebut turut mengingatkan bahawa prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang perlu bergerak seiring dengan prinsip Kesopanan dan Kesusilaan yang terkandung dalam Rukun Negara.

“Rukun Negara tak boleh dipilih sebahagian dan ditolak sebahagian.

“Menegur boleh. Berbahas boleh. Tapi jangan sampai kurang ajar,” katanya lagi.

Terdahulu, Tony Pua dalam satu kenyataan menegaskan bahawa Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dengan kuasa raja tertakluk kepada batas tertentu seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan.

Beliau berkata, kuasa raja secara umumnya melibatkan aspek adat Melayu, agama Islam serta peranan tertentu seperti pelantikan Menteri Besar dan pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Tony Pua turut menyatakan bahawa undang-undang negara digubal oleh Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang dipilih rakyat.

Bagaimanapun, kenyataan akhirnya yang menyebut “Bukan titah perintah” mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen dan pemerhati politik yang menganggap frasa tersebut sensitif terhadap institusi diraja.

Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung sebarang tindakan lanjut terhadap kenyataan berkenaan.

NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.        

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *