Puluhan Laporan Polis Dibuat Terhadap Tony Pua

KUALA LUMPUR – Sehingga pagi ini, puluhan laporan polis telah dibuat di beberapa negeri terhadap bekas pemimpin DAP, Tony Pua susulan hantaran dimuat naik di media sosial yang didakwa menyentuh isu Institusi Raja dan sistem Raja Berperlembagaan.

Laporantersebut dibuat oleh pelbagai pihak termasuk individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis masyarakat yang mendakwa kenyataan dimuat naik Tony Pua itu bersifat provokatif serta boleh menjejaskan keharmonian awam.

Menurut salah satu laporan polis yang tular di media sosial, pengadu mendakwa beliau melihat hantaran berkenaan ketika melayari Facebook pada malam 19 Mei 2026 di kawasan medan selera Batu Berendam.

Dalam hantaran itu, Tony Pua didakwa menulis:

“Ya, saya setia kepada Raja dan Negara dan akan mematuhi Kedaulatan Undang-Undang mengikut Perlembagaan Persekutuan. Bukan titah.”

Kenyataan tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan teguran terbuka oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung kefahaman dan penghayatan terhadap Rukun Negara dalam kalangan ahli politik.

Pengadu dalam laporan polis berkenaan mendakwa penggunaan frasa “Bukan titah” disampaikan dalam nada sinis dan boleh ditafsirkan sebagai tidak menghormati kedudukan Sultan Selangor serta Institusi Raja-Raja Melayu.

Menurut laporan itu lagi, kenyataan terbuka sedemikian daripada seorang tokoh politik yang mempunyai pengaruh besar di media sosial berpotensi mencetuskan perdebatan negatif serta menggalakkan polarisasi politik dalam masyarakat.

Pengadu turut mendakwa kenyataan tersebut boleh menghasut masyarakat supaya memandang rendah terhadap institusi diraja, selain mencabar prinsip “Kesetiaan Kepada Raja dan Negara” yang termaktub dalam Rukun Negara.

“Pengadu percaya kenyataan seperti ini boleh menjejaskan keharmonian awam serta mengheret institusi istana ke dalam polemik politik media sosial,” menurut kandungan laporan tersebut.

Difahamkan, tangkapan skrin hantaran Facebook berkenaan turut diserahkan kepada pihak polis sebagai bahan bukti bagi membantu siasatan.

Sehubungan itu, pengadu meminta Polis Diraja Malaysia menjalankan siasatan terperinci terhadap Tony Pua di bawah peruntukan undang-undang berkaitan.

Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak polis mahupun Tony Pua berhubung dakwaan dan laporan polis yang dibuat terhadap beliau.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *