PERKASA Beri Amaran Isu Institusi Raja Jangan Dipolitikkan, Gesa Tindakan Terhadap Tony Pua

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) memberi amaran keras kepada semua pihak supaya tidak mencabar atau mempolitikkan kedudukan Institusi Raja Melayu selepas tercetus kontroversi melibatkan kenyataan bekas pemimpin DAP, Tony Pua.

Ketua Penerangannya, Azrol Mansor berkata, pertubuhan itu mengecam sekeras-kerasnya kenyataan Pua yang didakwa menyentuh soal kuasa Institusi Raja Melayu dan cuba membentuk persepsi bahawa kedudukan Raja-Raja Melayu boleh dipersoalkan mengikut kepentingan politik tertentu.

Menurut beliau, kenyataan sedemikian disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab, biadab terhadap semangat Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan berpotensi menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

“Institusi Raja Melayu bukan sekadar lambang istiadat, tetapi merupakan tiang seri negara, pelindung agama Islam, penjaga hak Melayu dan payung kepada kestabilan tanah air,” katanya dalam satu kenyataan media.

Azrol menegaskan, walaupun negara mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, ia bukan alasan untuk mana-mana ahli politik mengeluarkan kenyataan yang boleh ditafsirkan sebagai memperkecilkan kewibawaan Raja-Raja Melayu.

“Jangan sesekali cuba mengajar rakyat supaya memandang rendah terhadap institusi yang telah menjadi asas pembentukan negara sejak merdeka,” katanya.

Beliau turut mengingatkan kebebasan bersuara mempunyai batas tertentu dan tidak boleh digunakan untuk mencetuskan polemik terhadap perkara yang telah termaktub dalam kontrak sosial negara.

Menurutnya, rakyat semakin muak dengan sikap segelintir pemimpin politik yang gemar memainkan isu sensitif berkaitan institusi negara demi kepentingan politik sempit.

“Ahli politik yang gagal menghormati sensitiviti rakyat dan Institusi Raja Melayu tidak layak bercakap soal perpaduan serta keharmonian negara,” katanya.

Dalam kenyataan sama, PERKASA turut mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya sekiranya kenyataan tersebut didapati mempunyai unsur menghasut, menghina atau merendahkan martabat Institusi Raja Melayu.

Pertubuhan itu turut memberi peringatan supaya tidak timbul persepsi bahawa terdapat pihak tertentu yang kebal daripada tindakan undang-undang apabila melibatkan isu Raja-Raja Melayu dan Perlembagaan.

“Jangan wujud persepsi bahawa ada golongan tertentu kebal daripada tindakan undang-undang apabila menyentuh perkara berkaitan Raja-Raja Melayu dan Perlembagaan,” katanya.

Pada masa sama, PERKASA menyeru rakyat Malaysia supaya bersatu mempertahankan kedaulatan Institusi Raja Melayu daripada sebarang cubaan yang disifatkan sebagai usaha halus melemahkan penghormatan rakyat terhadap institusi berkenaan.

“Raja Melayu bukan bahan politik murahan. Raja Melayu adalah payung negara dan maruah Persekutuan yang wajib dipertahankan,” tegasnya.

Kenyataan PERKASA itu hadir ketika isu berkaitan penghormatan terhadap Institusi Raja dan prinsip Rukun Negara terus menjadi perhatian umum susulan beberapa polemik politik dan perbahasan hangat di media sosial sejak kebelakangan ini.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *