JOHOR BAHRU – Dua individu yang ditahan pada awal pagi insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Jumaat lalu dibebaskan tanpa syarat.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, tangkapan yang dibebaskan itu ialah pelajar lelaki kolej swasta berusia 22 tahun dan pelajar wanita di sebuah institusi latiha berusia 21 tahun.
Katanya, dua individu itu ditahan untuk siasatan bawah Seksyen 302 kanun keseksaan.
“Mereka telah dibebaskan semalam selepas mendapat arahan dari Pejabat Peguam Negara, Putrajaya.
“Bagaimanapun, siasatan terhadap lima sekeluarga masih diteruskan memandangkan tempoh tahanan reman terhadap mereka akan tamat Jumaat ini.
“Orang awam dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi, manipulasi fakta atau membuat sebarang komen di media sosial berkenaan insiden ini, sehingga boleh menggugat ketenteraman awam dan mengganggu siasatan pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Awal pagi Jumaat lalu, dua anggota polis, Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut akibat ditembak dan ditetak oleh seorang suspek yang dipercayai ada kaitan dengan ahli Jemaah Islamiyah (JI).
Mereka dikebumikan di kampung halaman masing-masing di Bidor, Perak dan Gambang, Pahang.
Seorang lagi anggota polis yang cedera akibat tembakan di bahu kiri dan pinggul berada dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI).
Susulan itu, tujuh individu ditahan termasuk lima sekeluarga berusia antara 19 hingga 62 tahun. – NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252