BERITA UTAMA

Peguam UMNO Kelantan sedia bantu kerajaan negeri draf semula Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I)

KOTA BHARU – Pertubuhan Bertindak Peguam dan Intelek Kelantan mengingatkan kerajaan negeri itu dalam usahanya untuk menggubal semula 16 seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan baru-baru ini.

Pengerusinya, Nik Saiful Adli Burhan berkata, ingatan itu agar semua pemimpin terutama dari Pas tidak menjadikan undang-undang berkenaan sebagai alat untuk mengaut keuntungan politik.

Katanya, dalam mengejar kepentingan politik, ada yang sanggup mengeluarkan kenyataan mengelirukan umat Islam dengan meletakkan enakmen asalnya bertaraf hukum takzir sebagai hukum Allah sehingga rakyat terkeliru antara Hudud dan Qisas.

“Pada masa sama, UMNO sejak dari dahulu lagi menyokong usaha mana-mana pihak untuk memartabatkan undang-undang syariah serta pelaksanaan hukum Islam ke atas penganut agama Islam di negeri ini, selaras dengan tuntutan agama.

“Namun, menyedari hakikat Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi negara, penggubalan dan pelaksanaan undang-undang syariah mestilah tidak melangkaui sempadan kuasa pelaksanaan undang-undang dan kehakiman oleh mahkamah syariah dan kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal undang-undang tersebut,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dilaporkan berkata, kerajaan negeri komited untuk menggubal semula 16 Seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 yang dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada Februari lalu.

Katanya, sebagai kerajaan yang meletakkan Islam menjadi dasar pentadbiran, mereka tidak boleh sekadar berpeluk tubuh berdepan dengan cabaran perundangan serta institusi syariah.

Nik Siful Adli berkata, pasukan Peguam UMNO Negeri Kelantan sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi membantu terlibat sama dalam proses perbincangan, merangka dan mendraf semula peruntukan undang-undang yang dibatalkan bagi menjadikannya selaras dengan kuasa negeri dari aspek kuasa menggubal dan selaras dengan Akta Mahkamah Syariah 1965 dari aspek pelaksanaan undang-undang ini kelak.

“Kami tidak ingin melihat kerajaan Kelantan terjun lubang yang sama dua kali dan akhirnya isu ini memperlihatkan kecetekan ilmu pemimpin Islam serta menjadi isu yang menjatuhkan maruah agama Islam di mata masyarakat serta pengamal undang-undang,” katanya. – NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *