KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mengingatkan bahawa perjuangan mengembalikan hak Sarawak tidak boleh sehingga menjejaskan kepentingan Persekutuan, sebaliknya perlu mengimbangi kepentingan kedua-dua pihak.
Beliau berkata pendekatan terbaik adalah dengan mengoptimumkan hak yang sewajarnya diperoleh Sarawak menerusi rundingan serta kerjasama dengan kerajaan Persekutuan.
“Kita tidak boleh menuntut sehingga merosakkan kepentingan Persekutuan, sebab kita sebuah persekutuan. Maknanya kita kena mengimbangi kepentingan kedua-duanya,” katanya pada sesi dialog sempena Program Abas Orang Kamek (AOK) 2026 Zon Lembah Klang di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan peserta mengenai hala tuju Sarawak serta perjuangan mendapatkan hak negeri itu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Fadillah berkata kerjasama antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan diperlukan, kerana terdapat urusan yang melibatkan bidang kuasa masing-masing.
Sebagai contoh, beliau berkata rancangan penjualan tenaga Sarawak ke Singapura dan Semenanjung yang melibatkan laluan melalui perairan Indonesia, memerlukan kebenaran negara berkenaan menerusi kerajaan Persekutuan.
Fadillah turut memaklumkan usaha sedang dijalankan supaya Yayasan Sarawak atau kerajaan negeri mempunyai bangunan sendiri di Kuala Lumpur, bagi menyediakan penginapan kepada pelajar serta anak Sarawak yang datang mendapatkan rawatan.
Sementara itu, Fadillah berkata AOK menggantikan Lan Berambeh Anak Sarawak di Kuala Lumpur tahun ini, berikutan kesibukan jadual di Sarawak pada November dan Disember.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Beliau yang juga penaung Persatuan Sukarelawan Sarawak (Sarawak Volunteers) berharap Lan Berambeh dapat dianjurkan semula pada tahun-tahun akan datang.
Program AOK anjuran Sarawak Volunteers itu menghimpunkan anak Sarawak yang menetap, bekerja dan menuntut ilmu di Semenanjung Malaysia untuk berkongsi pandangan serta mendapatkan maklumat mengenai perkembangan negeri. – BERNAMA
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
