KUALA LUMPUR – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan graduan supaya tidak menjadi generasi yang cemerlang di dewan kuliah tetapi kecundang di medan akhlak.
Baginda bertitah ilmu sepatutnya digunakan untuk membina negara, menyatukan masyarakat dan bukannya meruntuhkan perpaduan serta menyemarakkan permusuhan.
Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan generasi muda dan rakyat supaya tidak terlalu angkuh sehingga sewenang-wenangnya mempertikaikan asas kenegaraan yang selama ini memayungi kehidupan rakyat.
“Janganlah menjadi seperti kaduk naik junjung. Apabila diberi peluang, apabila diberi ruang dan kebebasan, semakin tinggi menjulang, semakin lupa akar.
“Sesungguhnya, kebebasan bukanlah lesen untuk bertindak sesuka hati. Keberanian bukan alasan untuk berlaku biadab dan kebijaksanaan bukan diukur melalui kelantangan seseorang melawan arus atau mempertikaikan segala perkara tanpa asas ilmu dan fakta,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan titah sempena penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan pada Istiadat Konvokesyen ke-23 Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.
Penganugerahan itu merupakan pengiktirafan tertinggi UniKL terhadap kepimpinan Al-Sultan Abdullah selaku Canselor UniKL pertama, selama 21 tahun.
Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Hadir mengiringi ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Pro-Canselor UniKL Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Naib Canselor UniKL Prof Dr Kushsairy Abdul Kadir serta Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Al-Sultan Abdullah bertitah tidak semua yang melawan arus itu pejuang, manakala tidak semua yang lantang bersuara itu benar serta tidak semua yang gemar mempertikaikan sesuatu itu bijak.
“Kita tidak pernah menolak perbezaan pandangan atau teguran yang membina, namun mengkritik biarlah berfakta, menegur biarlah beradab dan berbeza pendirian jangan sampai hilang pertimbangan,” titah baginda. – BERNAMA
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
