PETALING JAYA: Dua penumpang sebuah kereta jenis Mercedes-Benz maut selepas tercampak keluar dari kenderaan itu yang terbabas di Kilometer 34 Lebuhraya Persekutuan, menuju ibu negara awal pagi tadi.
Kedua-dua mangsa yang juga wanita berusia lingkungan 20-an dan 30-an, disahkan maut di lokasi kejadian, manakala pemandunya melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, kereta itu dilaporkan terbabas sebelum melanggar tebing di lebuh raya berkenaan.
“Kejadian berlaku kira-kira 5.30 pagi, ketika kereta berwarna emas itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tebing di bahu kiri jalan.
“Kenderaan itu kemudian berpusing menyebabkan dua penumpang di bahagian belakang tercampak keluar melalui cermin belakang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kereta terbabit dipercayai dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 20-an.
“Polis sedang mengesan pemandu kenderaan terbabit yang dipercayai melarikan diri selepas kejadian,” katanya.
Shamsudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Beliau meminta mana-mana saksi yang melihat atau berada di lokasi kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor M Sivam di talian 017-3290749 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222. – Berita Harian
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
