KOTA BHARU: Kelantan Red Warrior (KRW) FC akhirnya meraih kemenangan pertama dalam saingan Liga Super selepas bangkit menewaskan Sabah FC 2-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, sebentar tadi.
Pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan hasil tandukan Jose Alonso yang berpunca daripada sepakan percuma pada minit ke 31.
Meskipun dilihat lebih menguasai perlawanan dengan merekodkan sembilan percubaan, KRW bagaimanapun terpaksa akur memasuki bilik persalinan untuk rehat pada babak pertama dengan ketinggalan 0-1.
Memasuki babak kedua, pemain gantian, Muhammad Rizuan Muda berjaya menukar skrip perlawanan apabila menjaringkan gol penyamaan minit ke 72.
KRW yang tewas semua enam perlawanan liga sebelum ini terus ghairah mencari gol kedua dan usaha mereka berhasil apabila Emmanuel Mbarga meledak gol pada minit ke-84.
Perlawanan tambah menarik apabila Sabah hampir diberikan penalti pada masa tambahan yang mencetus drama di stadium selepas berlaku kekasaran pemain KRW ke atas pemain Sabah.
Namun, semakan video bantuan pengadil (VAR) menyaksikan sepakan penalti itu dibatalkan, sekali gus melegakan 693 penonton setia KRW dan kedudukan 2-1 kekal hingga wisel penamat. – Berita Harian
Facebook: Nasional Daily
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
