SERIAN – Pembinaan jalan raya berkembar menghubungkan Serian ke Gedong dan Samarahan akan memperkukuh kesalinghubungan serta merancakkan pembangunan ekonomi bahagian Serian menerusi gelombang kedua pembangunan mampan.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata selain memendekkan jarak perjalanan, kemudahan itu memudahkan penduduk Serian mendapatkan akses kepada pendidikan, kemudahan kesihatan dan pusat penyelidikan di Samarahan.
“Kita ada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sana selain Pusat Jantung Samarahan dan juga pusat penyelidikan di Samarahan. (Jadi) ia lebih dekat dengan Serian,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Sarawakku Sayang (SKS) siri ke-10 di sini hari ini.
Abang Johari berkata laluan baharu itu turut menghubungkan ekonomi Serian dengan wilayah Greater Kuching serta menyediakan akses ke kawasan pembangunan Tanjung Embang, Kota Samarahan.
Beliau berkata pembangunan Serian akan digerakkan menerusi kerjasama sektor awam dan swasta dengan tumpuan pada potensi ekonomi serta kelebihan strategik bahagian berkenaan.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata kawasan Tasik Danu di Serian turut dirancang untuk menjalani projek pengindahan semula yang akan disepadukan dengan pembangunan bangunan serta kemudahan perhotelan.
Beliau berkata usaha itu sebahagian daripada perancangan jangka panjang untuk memperkukuh potensi pelancongan dan pembangunan Serian. – BERNAMA
Facebook: Nasional Daily
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
