KUALA LUMPUR – Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) merancang menempatkan kira-kira 200 anggota polis bantuan bagi memperketat kawalan keselamatan di sepanjang jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), susulan kegiatan kecurian kabel yang menyebabkan kerugian hampir RM4 juta.
Penempatan anggota itu akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan usaha sedang dipercepatkan supaya sebahagian daripada mereka dapat ditempatkan seawal November, khususnya di kawasan dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, kegiatan mencuri kabel menjadi perhatian serius syarikat selepas beberapa kejadian dilaporkan sejak beberapa bulan lalu, termasuk tiga kes berturut-turut pada awal September.
Katanya, jumlah kerugian akibat kegiatan berkenaan kini menghampiri RM4 juta dan isu itu sudah dibincangkan di peringkat pengurusan serta Lembaga Pengarah MRL.
“Isu berkaitan kecurian kabel ini memang sangat serius. Ia berlaku sejak beberapa bulan lalu dan jumlah kerugian yang kita kira sudah menghampiri RM4 juta.
“Kes terbaharu berlaku pada awal September membabitkan tiga kes berturut-turut,” katanya pada taklimat bersama pengarang mengenai perkembangan operasi ECRL, di sini, hari ini.
Taklimat itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif ECRL Operation Sdn. Bhd., Zaidi Sharif.
Darwis berkata, MRL kini mempertingkat rondaan dengan kerjasama polis dan pihak berkuasa berkaitan, selain menambah kawalan keselamatan di lokasi dikenal pasti berisiko.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Antara kawasan panas dikenal pasti terletak di Pahang, Selangor, Terengganu dan Kelantan, dengan rondaan dipertingkat bagi mengurangkan risiko pencerobohan serta kerosakan terhadap kemudahan ECRL.
Selain kawalan fizikal, MRL turut merancang memperluas penggunaan teknologi keselamatan menerusi pemasangan sensor dan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi tertentu.
Kata beliau, sistem berkenaan membolehkan amaran dikeluarkan lebih awal sekiranya berlaku pencerobohan, termasuk cubaan merosakkan pagar untuk memasuki jajaran ECRL.
Menurutnya, usaha membanteras kecurian kabel akan diteruskan secara berterusan kerana kegiatan itu bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan, malah berpotensi menjejaskan kelancaran operasi ECRL.
Sementara itu, Zaidi berkata, penubuhan pasukan polis bantuan MRL kini dipercepatkan berbanding perancangan asal untuk memulakan penempatan pada Disember.
Beliau berkata, kira-kira 200 anggota disasarkan untuk menyertai pasukan itu, dengan penempatan awal dijangka melibatkan kawasan berisiko tinggi mulai November.
“Konsep kawalan keselamatan akan menggabungkan rondaan dinamik dan penempatan statik, dengan kira-kira separuh membabitkan rondaan bergerak dan separuh lagi ditempatkan secara statik.
“Langkah ini dijangka melengkapi kawalan sedia ada termasuk rondaan bersama pihak berkuasa, pengawal keselamatan serta penggunaan teknologi pemantauan di sepanjang jajaran ECRL,” katanya.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
