PETALING JAYA – Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menggesa siasatan dijalankan berhubung dakwaan perbezaan RM2.1 bilion antara peruntukan dan perbelanjaan projek Jalan Luar Bandar di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Wakil rakyat DAP itu turut meminta SPRM menyiasat peranan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkaitan isu berkenaan.
Chong berkata laporan dibuat di pejabat SPRM Kuala Lumpur hari ini susulan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman, sebelum ini yang memaklumkan agensi itu akan menjalankan siasatan sekiranya menerima aduan rasmi.
” Aduan rasmi itu kini telah dibuat. SPRM mesti menunaikan kenyataannya dan memulakan siasatan secara bebas,” katanya dalam kenyataan.
Pada 1 Oktober lalu, Abd Halim dilaporkan berkata SPRM setakat itu hanya mengetahui dakwaan mengenai perbelanjaan KKDW menerusi laporan media dan belum menerima aduan rasmi untuk membolehkan tindakan lanjut diambil.
Chong berkata siasatan perlu menentukan sama ada sebarang kontrak atau komitmen kewangan dibuat sebelum peruntukan mencukupi diluluskan, selain meneliti kemungkinan berlaku penyalahgunaan kedudukan atau ketidakaturan dalam proses perolehan dan pembayaran.
Beliau turut meminta SPRM meneliti dokumen kewangan serta kontrak berkaitan, termasuk menentukan tarikh pelarasan peruntukan diluluskan dan sama ada ia dibuat sebelum atau selepas liabiliti kontrak terkumpul.
Laporan itu dibuat susulan penjelasan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Zamzuri Abdul Aziz, pada 1 Oktober lalu bahawa isu dakwaan KKDW berbelanja melebihi peruntukan sudah diselesaikan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Bagaimanapun, Zamzuri tidak memperincikan bentuk penyelesaian berkenaan.
Zahid sebelum ini menafikan KKDW berbelanja melebihi peruntukan yang diluluskan kerajaan, dengan menegaskan kementerian itu hanya membelanjakan jumlah yang diperuntukkan atau dinyatakan dalam belanjawan.
Isu berkenaan tercetus selepas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican, memaklumkan KKDW sejak beberapa tahun lalu membuat komitmen dan perbelanjaan melebihi peruntukan tahunan yang diluluskan bagi projek jalan luar bandar.
Laporan yang dibuat Chong kini memberi ruang kepada SPRM untuk meneliti dokumen dan fakta berkaitan sebelum menentukan sama ada terdapat sebarang kesalahan atau pelanggaran undang-undang dalam pengurusan peruntukan projek berkenaan.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
