KOTA KINABALU – Pengalaman tinggal bersama ibu tiri selama tujuh bulan meninggalkan kesan emosi kepada kakak tiri Allahyarham Zara Qairina Mahathir, yang mendakwa dirinya sering dilayan berbeza apabila bapanya keluar bekerja.
Malianah Mahathir, 25, ketika memberi keterangan pada prosiding inkues kematian Zara Qairina di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu hari ini berkata, dia berasa tidak gembira sepanjang tempoh tinggal bersama bapanya, Mahathir Mohd Hashim dan ibu tirinya, Noraidah Lamat, dari penghujung 2011 hingga Jun 2012.
Saksi ke-81 itu berkata, pada awalnya dia mengenali Noraidah sebagai bakal ibu tirinya selepas dimaklumkan bapanya wanita itu bersedia menerimanya sebagai anak dan menjaganya.
Bagaimanapun, menurut Malianah, layanan Noraidah terhadapnya didakwa berubah mengikut keadaan, terutama apabila bapanya yang bekerja sebagai pemandu di Sabah Oil & Gas Kimanis keluar bekerja selama beberapa hari.
Katanya, ketika bapanya berada di rumah, Noraidah melayannya dengan baik termasuk membantu keperluan harian dan urusan persekolahan.
Namun, keadaan didakwa berbeza apabila bapanya tiada.
Malianah mendakwa dia perlu menguruskan sendiri pelbagai keperluan termasuk menyediakan makanan, membasuh pakaian dan pakaian seragam sekolah serta memastikan kelengkapan persekolahan disediakan.
Dia turut mendakwa sering menjadi sasaran kata-kata kesat sehingga menjejaskan emosinya sepanjang tinggal bersama ibu tirinya itu.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Lebih mengecewakan, Malianah mendakwa tempat tidurnya turut berubah mengikut keadaan.
Menurutnya, ketika bapanya berada di rumah, dia tidur di ruang tamu menggunakan tilam nipis, manakala apabila bapanya keluar bekerja, dia didakwa diarahkan tidur di dapur berhampiran tandas walaupun terdapat sebuah bilik tidur yang tidak digunakan.
Malianah berkata, dia tidak pernah bertemu atau berhubung dengan Zara Qairina selepas adik tirinya itu dilahirkan pada 2013, iaitu selepas dia tidak lagi tinggal bersama bapanya dan Noraidah.
Katanya, hubungan dengan Noraidah juga terputus untuk beberapa tahun sebelum mereka berhubung semula melalui Facebook pada 2019 ketika dia cuba mendapatkan maklumat mengenai bapanya.
Menurutnya, Noraidah kemudian memberikan nombor telefon bapanya untuk membolehkan mereka berhubung.
Zara Qairina, 13, ditemukan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama pada 16 Julai 2025 sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, pada keesokan harinya.
Prosiding inkues diteruskan bagi meneliti keadaan dan fakta berkaitan kematian pelajar berkenaan.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
